BUKIT KAMAL MENJERIT VI “Pakcik nak pesan, tolong jaga tulang pakcik yang dalam beg tu…” katanya perlahan.

BUKIT KAMAL MENJERIT VI

(Cerita ini berdasarkan kisah yang benar-benar berlaku pada diri aku sendiri atau kawan-kawan terdekat. Bagaimanapun olahan dilakukan pada dialog supaya ia menimbulkan suasana, tanpa merosakkan objek besar iaitu kisah benar).

Satu pagi Jumaat yang indah dan nyaman, setelah genap 3 bulan kami dilanyak pagi petang siang malam tanpa rehat yang sempurna, semasa kami sedang beratur hendak memasuki kelas di Sekolah Teknikal, pegawai kami memberitahu bahawa bermula petang nanti, semua rekrut dibenarkan untuk bercuti ‘long weekend’ selama 2 hari setengah, dan semua pelatih dibenarkan untuk keluar dari kawasan latihan dan bermalam di luar, atau mengunjungi saudara mara berdekatan, atau berehat sahaja di dormetri jika tidak berhasrat untuk keluar mengurat atau cari awek di pekan Sitiawan. Kami semua sambut berita itu dengan gembira dan berbunga. Semua melompat gembira. Di muka masing-masing terpancar kegembiraan yang bukan kepalang, setelah 3 bulan penuh dikunci di sekolah latihan tanpa sejengkal pun diberi kebenaran keluar dari pangkalan untuk melihat dunia luar.

Berita baik itu sebenarnya tidak menggembirakan aku pun. Aku bukannya ada saudara mara di Lumut, atau Sitiawan, atau sekitarnya,. Paling dekat saudara terdekatku ialah di Kelantan, yang jaraknya lebih 400 kilometer dari situ. Jadinya berita gembira itu jadi hambar dan bukan berita menyeronokkan lagi bagi setengah dari kami. Maka aku dan beberapa orang lagi rakan mengambil keputusan untuk sembam muka di bantal atau menulis surat kepada kekasih di kampung.

Sekitar lepas maghrib, Shaari, seorang rakan dari dormetri sebelah datang ke katil. Aku bingkas bangun. Mukanya terlindung di balik lampu kalimantang.

“Jom ikut aku balik kampung,” ajaknya. Aku terdiam sejenak. Rasa seronok tiba-tiba melonjak dalam hati.
“Lekir?” tanya aku.
“Ye, Batu 9. Aku rindu arwah ayah aku. Esok kita gi kubur dia”.
“Besok bertolak?” tanya aku lagi.
“Kita bertolak sekarang!”

Aku melompat bangun, masukkan baju dalam beg kecil dan dalam masa hanya beberapa minit selepas itu kami sudah bersedia berjalan kaki ke Lumut, sebelum menaiki bas ke Sitiawan.

Kami berborak sahaja sepanjang perjalanan dari pangkalan ke pekan Lumut. Shaari ini agak pendiam orangnya, tak banyak cakap. Dia hanya bersuara apabila perlu. Jadinya hanya aku yang banyak bercerita, terutama mengenai kisah hantu yang sering mengganggu kami pada malam-malam sebelum itu.

Sampai di satu simpang selepas pintu utama pangkalan di Lumut, Shaari minta aku tunggu tepi jalan kerana hendak mengambil sesuatu di situ. Hairan juga kerana di kanan jalan itu ialah hutan dan tidak nampak sebarang rumah orang di sekitar. Tanpa sempat aku bertanya, Shaari berkata, “aku tinggal barang kat sini tadi. Sekarang nak ambik.”

Aku terdiam. Tangkas Shaari menyelinap ke dalam belukar meninggalkan aku keseorangan di tepi jalan. Yang masih aku ingat, tidak ada seorang pun yang lalu di situ ketika aku berdiri di situ.

Shaari muncul semula beberapa minit kemudian, menggenggam sesuatu yang berbungkus dengan kertas suratkhabar di tangan.

“Tolong pegang,” katanya tanpa sempat aku bertanya apa kandungan di tangannya itu.
“Itu tulang ayah aku,” katanya lagi perlahan. Muka Shaari berbalam.
Aku terkejut bukan kepalang. Memang terasa benda keras kira-kira sekaki atau lebih panjangnya.
“Tulang ayah kau?” Aku bertanya kehairanan. Memang patut aku hairan kerana bari tadi Shaari beritahu bahawa ayahnya sudah meninggal dunia dan mengajak aku untuk menziarahi kubur keesokan harinya.
“Aku cerita esok. Malam ni kalau aku cerita kau takut”.

Aku mengangguk saja sementara kami melangkah menuju stesen bas Lumut.

Banyak persoalan bermain dalam kepala aku. Aku sekarang sedang memegang bungkusan tulang ayah Shaari, yang berbalut dengan kertas suratkhabar lama. Kami tak banyak bercakap. Shaari melangkah dengan cepat dan beberapa ketika kemudian kami sudah berada di dalam bas menuju Sitiawan.

Dari pekan Sitiawan, kami naik bas pula ke Batu 9, Lekir dan bas berhenti di tepi sebuah bangsal usang tepi jalan. Masa itu sudah hampir tengah malam. Shaari mendahului aku ke sebuah rumah yang nampak berbalam di hadapan.

Benar, rumah itu sudah agak usang dan mungkin sudah berusia puluhan tahun.  Tangga simennya seperti bentuk tangga rumah Minangkabau atau rumah lama di Melaka, atau Negeri Sembilan. Ada daun pintu bercermin berwarna gelap di tingkap yang terbuka. Kenapa tingkap terbuka di waktu tengah malam begini? Soalan itu menerjah kepala. Shaari menoleh, “Rumah aku pintu terbuka siang malam’..

Kami naik. Dia menyelinap ke ruang tengah dan muncul semula seketika kemudian.

“Mak aku dah tidur. Kita tidur sini. Esok kita sambung.” Katanya perlahan sambil merebahkan badan. Entah kenapa, malam itu terasa benar sejuknya. Mungkin juga kerana rumah itu adalah rumah kampung yang tidak terdedah kepada pembangunan. Selepas meletakkan bantal di ruang tamu berhampiran tingkap kayu, dalam kegelapan itu aku melihat Shaari sudah hanyut tertidur.

Dalam cahaya pelita minyak tanah yang meliuk ditiup angin, aku melihat rumah usang yang agak besar itu kosong dan tidak banyak perabot. Ada sebuah kerusi di sudut dinding, sebuah meja yang juga usang di tepinya. Tikar mengkuang terhampar. Ada sebuah bilik yang pintunya tidak terbuka sejak tadi. Mungkin bilik mak Shaari, kata hati aku. Sekilas aku teringatkan bungkusan suratkhabar yang Shaari kata mengandungi tulang bapanya. Bungkusan itu aku letak dalam beg pakaian.

Rasa ngeri muncul tiba-tiba. Aku dicengkam rasa takut. Takut sehingga rasa hendak membalikkan badan pun terasa seperti diperhati seseorang. Terasa seperti ada orang lain di sebelah. Bulu roma meremang. Aku tidak berani menoleh dan membuka mata.

“Anak…” tiba-tiba terdengar suara seperti berbisik. Suara itu persis angin lalu di tepi telinga.
“Anak…bangun..” bunyi suara itu lagi, lebih jelas tapi masih berbisik.

Aku masih berdiam. Bulu roma berdiri. Terasa seram sejuk seluruh badan. Tiba-tiba terasa sesuatu memegang bahu. Dalam ketakutan yang amat sangat, tanpa sedar aku telah membalikkan badan.

Dalam kegelapan, aku melihat di depanku seorang lelaki tua berambut hitam, tidak berbaju, bersila mengadap aku yang sedang menggigil ketakutan.

“Pakcik nak pesan, tolong jaga tulang pakcik yang dalam beg tu…” katanya perlahan.

Aku masih tergamam dan tidak ada ayat yang mampu keluar dari mulut aku ketika itu. Aku pun tidak tahu bagaimana selepas itu aku bangun dan turut bersila di depannya.

Malam hanya diterangi oleh pelita yang cahayanya meliuk lintuk. Sejuk membungkam. Angin lembut meniup muka dan telinga. Samar-samar muka orang tua ini di depan. Kami hampir berlaga lutut apabila Shaari tiba-tiba menoleh. Aku pandang Shaari yang memandang aku dengan pandangan aneh.

“Kenapa kau bangun?” Dia bertanya kehairanan.
“Pakcik ni kejut,” kata aku sambil pandang semula ke arah orang tua di depan. Tidak ada sesiapa di depan aku. Kosong. Tidak nampak sebarang kelibat manusia.
“Tidurlah, kau mimpi..” kata Shaari ketawa kecil, membalikkan semula badannya mengadap dinding.

Shaari kemudian tidur semula.

Aku terkebil-kebil di sebelahnya. Kehadiran orang tua tadi dan kata-katanya masih terngiang. Aku tak tahu berapa lama aku termanggu sendirian dalam kebingungan sehingga tertidur.

Esoknya, setelah mandi, aku ajak Shaari balik semula ke pangkalan di Lumut. Shaari tahu apa alasan aku untuk tidak berlama-lama di rumahnya. Pagi itu baru aku berjumpa emak Shaari, yang kelihatan sudah tua dan bertongkat bila berjalan sebelum bergobek di dapur.

“Tulang ayah kau ni bagaimana?” aku tanya Shaari ketika dalam bas.
Shaari pandang aku, pegang tangan aku. “Apa ayah aku cakap?”
Aku terkedu. Shaari tahu apa yan berlaku malam tadi.
“Dia suruh jaga”.
Aku lihat muka Shaari tersenyum dan dia menarik nafas dalam-dalam.

Setelah memasuki pangkalan dan naik semula ke dormetri di tingkat 3, Yoyo yang kebetulan hendak ke bilik air menyapa. “Ehh, kau pergi mana dengan beg ni..?” Yoyo pandang aku dengan kehairanan.
“Tidur rumah Shaari kat Lekir,” jawab aku jujur.
Kali ini Yoyo terhenti dan tenung bulat ke muka aku.
“Apa kau cakap? Tidur rumah Shaari?” tanya Yoyo lagi.
Aku angguk.
“Habis yang bercakap dengan aku malam tadi tu siapa?”
Aku gumam, tak terkata apa-apa.
Yoyo jerit panggil Mat Yus. Mat Yus menoleh.
“Yus, ni Safri, dia kata malam tadi dia tidur rumah Shaari di Lekir. Yang dok bercakap dengan kita malam tadi tu siapa?”

Mat Yus kehairanan. Haizi, Raja, Dagu, Haizi juga kehairanan. Aku terduduk di birai katil.

Malam itu kami semua sembahyang maghrib bersama. Dagu azan kuat-kuat. Mat Yus jadi imam. Kami semua baca Yassin selepas itu.

Hairannya, Shaari tak pernah mengakui bahawa dia pernah membawa aku tidur di rumahnya pada malam kejadian. Malah, katanya, pada malam itu dia ditugaskan sebagai duty sentry di pejabat KD Malaya.

Tulang itu aku simpan berpuluh tahun, sehinga aku melepaskannya kepada seorang guru agama di Lekir 4 tahun lepas. Aku minta tulang itu dikebumikan di situ.

Keterangan gambar:

Ini Shaari, ketika kami bersama-sama ditugaskan di atas kapal KD Ganyang. Kami tidak pernah bersua sejak 1984. 


Gambar kedua, itulah tulang yang orang tua tu suruh aku simpan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SISTEM PEMBUMIAN ELEKTRIK

KAMPUNG Janda Baik pada asalnya mula diteroka dan dibuka oleh tiga orang individu yang datang dari Bentong, Pahang pada 1932 iaitu Haji Yaseh Da’un, Haji Kadir Hitam dan Haji Idris Awang.

Sebagai anak, sudah tentulah kita perlu menghormati orang tua masing-masing sekalipun mereka hanyalah ibu dan bapa angkat kita