BUKIT KAMAL MENJERIT VIII
BUKIT KAMAL MENJERIT VIII
(Semua cerita aku ini berdasarkan kisah benar yang berlaku pada diri aku sendiri, atau kawan-kawan rapat terdekat. Ia berlaku sekitar 1980 hingga 1993. Latar kejadian berbeza, di darat dan di laut, semasa bertugas sebagai anggota LLP di TLDM. Olahan, plot, penceritaan aku susun supaya menimbulkan suasana. Mohon sokongan)
Kehilangan Nirwan menimbulkan pertanyaan di kalangan kami. Awasan rehat akan berakhir tengah malam ini, dan esok semua rekrut dikehendaki ada untuk memulakan hari baru. Tidak hadir bermakna absent. Absent ialah perkara paling buruk terhadap prestarsi rekrut di peringkat awal ini. Ia tidak boleh terjadi kepada kami. Jurulatih kami tahu tentang kehilangan Nirwan dan tidak ada bukti-bukti untuk membuat penjejakan. Rakan-rakan dormetrinya juga tidak tahu ke mana Nirwan menghilang. Pengawal pintu 1 dan pintu 3 juga tidak mempunyai rekod bahawa Nirwan keluar meninggalkan pangkalan. Ini bermakna Nirwan masih berada dalam pangkalan dan bersembunyi entah di mana.
Maghrib itu kami solat ramai-ramai. Mat Yus diangkat jadi imam lagi. Dagu pun sama, jadi bilal. Suara Dagu sayu semasa mengalunkan azan.
“Kita cari Nirwan kat bukit tu?” Mat Yus memberi cadangan. Kami berpandangan sama sendiri. Bukan mudah dan bukan senang nak cari Nirwan kat Bukit Kamal tu, malam-malam begini. Macam-macam kemungkinan boleh terjadi. Bahaya dan tak masuk akal jika pencarian hanya melibatkan kami yang belum mahir dan tahu apa-apa pun tentang bukit misteri dan berhantu tu.
“Kita mintak dengan GI. Kalau dia bagi, kita pakat naik. Kalau dia tak bagi, kita pakat berserah, tunggu Nirwan balik.” Kata Raja. Aku sebenarnya setuju kami pakat cari di bukit tu, tetapi seperti mengundang malapetaka pulak kerana kami hanya beberapa hari mengenal bukit itu dari kejauhan. Di kalangan kami tidak ada seorang pun yang pernah ditugaskan menjadi sentry ke atas bukit.
Bagaimanapun, selepas itu, kami berjumpa jurulatih meminta nasihat. GI Kamaruddin, jurulatih bertugas malam itu terkejut dengan cadangan kami. Dia kemudian menghubungi pegawai lain sebelum memberi kebenaran supaya kami melalkukan rondaan ke kaki Bukit Kamal untuk menjejak Nirwan. Aku menawarkan diri untuk berada dalam kumpulan yang akan naik ke bukit itu bersama-sama 4 orang rakan yang lain. Dagu dalam kumpulan kami. Mat Yus, Yoyo dalam kumpulan lain. Tak pasti samada Shaari masuk kumpulan mana. Jumlah kami sekitar 15 orang sahaja. Hanya kumpulan kami saja yang akan menaiki Bukit Kamal sementara kumpulan lain bertebaran di tempat-tempat lain menjejak Nirwan.
Kami berpecah. Oleh kerana kumpulan kami dikira sebagai kumpulan paling penting, setiap orang diantara kami membawa lampu suluh. Dalam suasana malam yang semakin mengingsut dan sejuk yang mula mencengkam, kami berjalan meredah malam, perlahan-lahan mendekati Bukit Kamal.
Tiba di kaki bukit, Dagu tadah tangan, baca doa. Semua orang mengaminkan. Itulah kali pertama kami semua akan mendaki bukit misteri ini. Aku tak tahu orang lain, tapi dada aku gementar. Waktu ketika itu menghampiri pukul 10 malam ketika kami melangkah dan mula mencari laluan untuk mendaki. Seketika sahaja selepas itu, lampu blok kediaman kami dipadamkan dan suasana sekeliling menjadi kelam dan gelap gelita.
Hutan belukar menaiki Bukit Kamal tidaklah setebal mana pun. Pokok-pokok renek di kiri kanan dan hanya ada beberapa pokok sebesar yang hanya sebenar paha menghalang pendakian. Lampu suluh kami bertebaran ke kiri dan kanan termasuk ke batang pokok dan ranting-rantingnya. Kami berjalan, memanggil nama Nirwan secara perlahan, selebihnya kami berselawat, membaca ayat-ayat alquran yang mudah dan azan, juga secara perlahan.
Barangkali kerana kami berada di dalam hutan, suasana menjadi sejuk dan bertukar menjadi seram pula. Bunyi cengkerik berbalas-balas nyaring. Kadang ianya terlalu hampir dengan laluan perjalanan itu. Seekor dua belalang beterbangan apabila tempat mereka diganggu.
Kira-kira setengah jam meredah beluar, kami mula mendengar suara aneh berhampiraan kami. Suara orang bercakap, kemudian mengilai, menangis dan menjerit lemah. Semua berbaur dan bercampur. Kami terhenti. Lampu suluh kami halakan ke sekeliling, bersimpang siur, ke tempat datangnya suara. Memang tidak ada kelibat manusia pun di sekitar, tapi suara semakin jelas dan dekat. Dan kemudian suara-suara yang meremangkan bulu roma itu mengelilingi kami. Suara mengilai yang semakin jelas mengepung kami berlima. Hilaian semakin kuat, dan kuat seperti menjerit dan membingit betul-betul di sebelah cuping telinga kami.
‘Allahuakbar!!! Allahuakbar!!!” laung kami beramai-ramai.
Serentak itu juga kedengaran seseorang melaungkan azan dengan kuat. Suasana panik menyelubungi. Angin bertiup kencang tiba-tiba. Pokok kayu bergoyang ke kiri dan kanan, bersahutan dengan suara azan. Suara mengilai semakin menggila. Benar-benar menggila, mengelilingi kami dari semua arah. Dalam kegelapan yang hanya diterangi lampu suluh itu sebatang dahan yang entah dari mana datangnya melayang dan mengena belakang salah seorang antara kami. Lazim terjatuh. Dahan kayu itu tidak sebesar mana pun, tetapi Lazim meronta-ronta. Dia menjeriit dan berguling-guling. Kami melihat Lazim tidak kesakitan pun tetapi Lazim kini telah dirasuk oleh makhluk lain.
Kami menerpa Lazim yang berguling, menendang, meronta, menjerit dan melolong. Jeritan Lazim bergema dalam hutan. Suara mengilai dari semua arah berterusan tanpa henti. Kami terus melaungkan azan, membaca dan terus membaca ayat-ayat suci yang mudah. Lazim menggelupur seperti disembelih. Lehernya membesar, membengkak dan suaranya Lazim bertukar garau. Mata Lazim liar, menakutkan.
“Pergiiii! Jangan ganggu tempat aku!!!!” Jerit Lazim.
“Pergiiiiiii!!!” Jerit Lazim lagi, berkali-kali. Kakinya menendang angin. Kami tekan kepala, tangan, paha Lazim supaya dia tak bergerak. Lazim masih kuat menendang. Seorang yang duduk di sebelah kaki kena tendang dan terperosok ke belakang.
Pasir berterbangan entah dari mana mengena sebagaian kami. Daun-daun kecil pula seperti terangkat sendiri dari tanah dan berpusar-pusar ke udara. Kami nampak daun-daun berpusar ke atas, seperti angin putting beliung.
“Allahuakbar!! Allahuakbar!!!” Kami menjerit ramai-ramai, bersahut-sahutan, tanpa henti.
Suara kami yang melawan suara mengilai itu mula berkesan. Hilaian mulai mengendur perlahan-lahan. Hilaian semakin perlahan dan menjauh. Angin menjadi semakin lunak dan tidak berpusar lagi. Lazim masih meronta, tetapi sudah semakin lemah. Kami mengendurkan regangan.
“Kita usung Lazim,” kata Dagu, mengarah, selepas Lazim tenang.
Tanpa banyak bicara, Lazim kami angkat dan usung beramai-ramai, perlahan-lahan dan berhari-hati menuruni Bukit Kamal yang kami tak tahu apa yang akan menghalang kami di depan nanti.
Lazim yang masih belum sedarkan diri sepenuhnya kami bawa ke pejabat jurulatih bertugas. GI Kamaruddin mengarahkan supaya Lazim dibaringkan di katil di dalam pejabatnya. Sebaik saja kami ingin beredar ke dorm masing-masing dan hanya meninggalkan Dagu yang membaca ayat-ayat alquran di sebelah Lazim, terdengar pula jeritan nyaring dari tingkat dua. Kami terkejut. Serentak itu juga rakan-rakan kami di tingkat dua berlari ke arah suara yang menjerit. Nik Pahang yang aku lihat berada di tingkat dua menjerit kepada kami yang sedang keluar dari bilik Jurulatih supaya kami datang membantu.
“Safri!! Naik cepat!!”
Kami bergegas melangkah anak tangga ke tingkat dua. Jeritan rakan kami itu menyebabkan Jurulatih segera mengarahkan lampu dinyalakan semula. Keadaan kembali terang. Lampu menerangi semua blok penginapan.
Dari pintu, aku melihat ramai yang sedang mengerumuni seseorang. Aku menerpa. Nirwan!
Bersambung..
Keterangan gambar:
Masa senggang kami tiap petang. Main gitar dan bernyanyi menghilangkan bosan. Dalam gambar ini dua orang rakan kami telah terlebih dahulu dipanggil meninggalkan kami, iaitu Yoyo di hujung kanan dan sebelahnya Dagu. Semoga roh arwah dalam keredhaanNya. Aamiin.
Ulasan
Catat Ulasan