BUKIT KAMAL MENJERIT IV

BUKIT KAMAL MENJERIT IV

Di peringkat awal bergelar rekrut, kami ‘dipaksa’ menerima banyak perkara baru yang berlaku kepada kehidupan kami. Bangun seawall pukul 5 pagi, bergegas ke bilik air, berebut dan beratur nak menggunakan tandas. Pkl 5.30 pagi sudah terpacak di bawah, lengkap dengan pakaian sukan, dan senior kami bukan sekadar ingin melatih kami bersenam, tetapi turut melanyak kami dengan senaman yang memang menyeksakan dan tak masuk akal. Kami dipaksa berenang, bergolek dan menyelam dalam longkang yang airnya busuk dan berbau dan paras air longkang itu hanya sekadar tahap keting kami sahaja. Itu masih belum kira berguling dan bergolek-golek atas batu kerikil yang tajam dan bergeligi kerana kawasan sekitar masih dalam pembinaan. Sakit dan berdarah badan sesetengah dari kami. Muntah hijau tu perkara biasa.

Selepas breakfast, pukul 7.30 pagi kami sudah siap beratur di bawah, berbaris untuk ke sekolah latihan masing-masing.  Ada yang terus ke padang kawad, ada di ajar teori menembak, ada ke kelas-kelas pengkhususan masing-masing. Aku terpilih memasuki sekolah Teknikal dan kami akan menghabiskan masa belajar di kelas sehingga pukul 1 sebelum pulang ke dormetri untuk makan tengah hari.

Sebelah petang pula diisi dengan latihan di padang, malam akan bergilir-gilir untuk bertugas awasan (rondaan atau sentry) di mana-mana kawasan yang ditugaskan. Selalunya tugas sentry ini akan dibahagikan kepada 4 kumpulan, setiap kumpulan dengan 2 orang rekrut mengadakan rondaan selama 4 jam, sebelum digantikan dengan rekrut lain yang juga mengambil masa selama 4 jam.

Tugas rondaan ini agak menjengkelkan, kerana kami harus berjalan-jalan meronda di seluruh kawasan, termasuk di pinggir bukit, di hutan-hutan yang masih belum diteroka dan ke tempat-tempat yang jika dilihat di waktu siang pun agak menakutkan dan menggerunkan, terutama jika ke Bukit Kamal.

Dan itulah yang berlaku pada aku yang kebetulannya dalam kumpulan yang melibatkan Nirwan yang sejak kejadian tempoh hari kelihatan murung dan agak berdiam diri. Nirwan dilihat sering menyendiri dan ada kalanya berjalan berseorangan dan mengelak untuk bertegur sapa dengan kawan-kawan.

Pukul 10.30 malam kami melaporkan diri kepada jurulatih untuk tugas sentry selama 4 jam sehingga 2.30 pagi. Aku bersama Zul Kelantan (arwah) dalam satu kumpulan. Mat Yus (juga sudah arwah) dalam kumpuan lain bersama Nirwan. Mereka berdua pernah dirasuk beberapa malam sebelum itu. Penumbuk Mat Yus masih bengkak kerana tumbuk dinding simen semasa dirasuk. Kuat pulak tu, sehingga kawan-kawan berdarah ditumbuk di muka semasa mengerumuni untuk menjatuhkan dia ke lantai.

Aku dan Zul ke satu penjuru lain, Mat Yus dan Nirwan ke penjuru yang berbeza. Senjata kami hanyalah sebuah lampu picit dan sebatang cotar tiap seorang. Kami diberi ‘codeword’ yang kami akan gunakan untuk mengetahui siapa yang kami jumpai, jika ada. (Aku tak mahu panjangkan soal ‘codeword’ ni kerana ia melibatkan teknikal dan isu keselamatan anggota tentera).

Agak meremang jugak bulu roma bila kawasan rondaan kami nanti ialah ke kaki Bukit Kamal. Aku tahu Mat Yus dan Nirwan jugak risau.

“Anak jantan, apa takut. Kalau hantu datang aku nak peluk dia.” Kata Mat Yus tersengih.

Kami berpecah ke arah bertentangan. Malam gelap sungguh, ada beberapa butir bintang di langit. Kami tahu padang yang kami sedang berjalan perlahan-lahan ini hanya dipenuhi rumput halus dan pokok renek. Kami berborak secara perlahan dan tidak langsung menggunakan lampu picit kerana dikhuatiri lokasi kami ini diketahui oleh orang lain.

Agak lama juga kami berjalan, meronda dan ketika melintasi kaki Bukit Kamal, terasa angin sejuk mendesus di telinga. Jantung aku tiba-tiba berdebar. Terlintas ayat alquran yang mudah diingati dan aku membaca perlahan. Zul juga berbuat demikian. Kaki kami terus melangkah.

Seperti ada sesuatu sapaan menegur nama aku. Aku berhenti. Zul juga berhenti. Terdengar langkah mendekati kami. Memang kami agak ketakutan, dan lampu segera disuluh.

Fuhhhh!! Mat Yus dan Nirwan. Celaka, aku menyumpah. “Aku ingatkan hantu tadi,” kata Zul. Mat Yus dan Nirwan ketawa mengekek.

“Kalau aku hantu, kau nak buat apa...” tambah Mat Yus ketawa jugak. Nada ketawanya berbunyi lain dari biasa.

“Aku bawak air. Kau nak?” pelawa Mat Yus, Nirwan berdiam dalam kegelapan. Zul sambar botol air dari tangan Mat Yus dan dia meneguk air sambil berdiri.

“Naik bukit nak, kita cari hantu.”

Aku geleng kepala. Zul pun. “Kita tak perlu naik. Tugas kita kat bawah ni jer”

Aku ingin segera berlalu dari kawasan kaki Bukit Kamal tu dan tdak ingin berlama-lama bersembang kosong di kaki bukit berhantu tu. Angin sejuk terus menerpa telinga kami. Entah kenapa terasa seram sejuk sejak tadi. Bulu roma meremang, terutama bila melihat muka Nirwan dalam kegelapan. Nirwan tidak bercakap, dan hanya berdiam dan merenung ke arah kami.

Kami berpisah di situ. Aku dan Zul meneruskan tugas rondaan ke  kanan, sementara Mat Yus dan Nirwan ke kiri padang. Jika dikira jarak rondaan kami itu, kami hanya akan berjumpa dengan mereka semula setelah sejam kemudian, mungkin di tempat yang sama., di kaki Bukit Kamal, bukit yang pertama kali kami mendengar tangisan pada malam hujan lebat tempoh hari.

Sekitar 5 minit kemudian. Terdengar seseorang sedang bercakap di depan kami. Kami agak tentulah rakan kami yang jugak sedang melakukan rondaan ayng sama. Bila kami mendekat, kelihatan sosok tubuh seperti Mat Yus. Nirwan di sebelahnya. Lampu picit kami suluh ke arah mereka.

Ia, Mat Yus dan Nirwan.

“Eh, cepatnya kau ke sini,” aku tegur.

Mat Yus pandang kami dalam kegelapan.

“Memang aku kat sini sejak tadi. Kami ronda sini saja."

“Tadi kau pergi sana buat apa,” aku tunjuk ke arah belakang, ke arah kaki Bukit Kamal.

Mat Yus kehairan. Nirwan berdiam diri.

“Kami memang tak ke mana-mana sejak tadi. Kami ronda sebelah sini dan tak langkah kawasan rondaan hangpa berdua,” katanya turut kehairan.

Jawapan itu sebenarnya sangat mengejutkan kami kerana kami baru saja terserempak dengan mereka berdua di kaki Bukit Kamal tadi.

“Mana air kau?” Zul tanya bila lihat Mat Yus tidak memegang apa-apa melainkan cotar dan lampu picit.

“Air apa?”

“Air sejuk yang kau bagi aku minum tadi”.

“Aku tak bawak apa-apa air Zul.”

Kata-kata Mat Yus tadi menjadikan bulu roma kami meremang semula. Kami melangkah dengan agak tergesa-gesa meninggalkan kawasan itu. Malam itu kami hanya meronda kawasan sekitar itu sahaja dan tidak berhasrat untuk ke kaki Bukit Kamal itu semula.

Peristiwa berjumpa Mat Yus dan Kamal di kaki bukit itu kami ceritakan pada jurulatih semasa menamatkan tugas kami malam itu. Dan kami percaya, sentry yang melakukan rondaan selepas duty kami berakhir pagi itu juga tidak melakukan perkara yang sama.

Esoknya Zul demam. Dia dirujuk ke hospital angkatan tentera dan dimasukkan ke wad. Seminggu dia meracau siang malam.

Sekian dulu. Kita berjumpa di lain posting, InsyaAllah. Stay safe, stay healthy.

Keterangan gambar:

Zul berdiri paling kiri di belakang. Nirwan dan Mat Yus tidak ada dlm gambar ni. Junaidi yg namanya disebut dlm Siri II duduk di depan, no 2 dari kanan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SISTEM PEMBUMIAN ELEKTRIK

KAMPUNG Janda Baik pada asalnya mula diteroka dan dibuka oleh tiga orang individu yang datang dari Bentong, Pahang pada 1932 iaitu Haji Yaseh Da’un, Haji Kadir Hitam dan Haji Idris Awang.

Sebagai anak, sudah tentulah kita perlu menghormati orang tua masing-masing sekalipun mereka hanyalah ibu dan bapa angkat kita