BUKIT KAMAL MENJERIT III
BUKIT KAMAL MENJERIT III
Dalam Part III ni saya akan menceritakan bagaimana kami berdepan dengan tekanan dari pelbagai sudut di peringkat awal yang baru saja sehari dua bergelar rekrut. Latar belakang kami yang berbeza dengan kehidupan rekrut yang sangat berbeza memberi tekanan yang bukan sedikit. Siang kami dilatih dengan latihan keras yang belum pernah kami alami sebelum ini, berpanas di tengah padang kawad dan melakukan arahan yang mesti kami turuti dari pelbagai sudut, disiplin berjalan, berlari, makan minum, bersukan malah bercampur dengan rakan-rakan. Malam pula, di saat kami perlukan rehat untuk tidur sebagai persediaan latihan esoknya, kami diuji pula dengan penunggu Bukit Kamal yang hanya beberapa meter dari blok penginapan kami.
Selepas maghrib, ramai yang membaca Yassin sebagai pendinding diri berdepan dengan gangguan. Walaupun kami yakin kami akan terus diganggu untuk malam ketiga dan berikutnya, ia tidak melunturkan semangat kami pun. Selepas inspection dari pegawai, kami menghamparkan tilam di atas lantai, bersedia untuk tidur berhimpit lagi. Pukul 10 kemudian, wisel dibunyikan dan semua lampu dormetri kami dipadamkan. Dan kami menunggu detik cemas bermula.
Belum pun kami sempat untuk merebahkan badan, terdengar jeritan keras dari dormetri di bawah tingkat kami. Jeritan itu membuatkan kami melompat bangun. Beberapa orang rakan kami berlari menuruni anak tangga ke tingkat bawah. Aku yang turut bergegas melihat seorang rakan kami yang kecil sahaja badannya sedang berguling-guling sambil menendang keras ke udara.
‘Lepaskan aku..lepaskan aku…!!’ dia menjerit kuat sambil terus menendang. Bunyi spring besi berlaga-laga.
Kami melihat tiada siapa pun yang berada berhampiran memegang badannya.
“lepaskan aku iblisssssss…!! Allahu akbarrrr….Allahu akbarrrr…” dia menjerit. Kakinya keras menendang udara.
Kami tak tau dia menendang siapa. Kami juga tidak nampak siapa pun rakan-rakan kami yang menindih badannya untuk memulihkan dia yang sedang dirasuk.
Azan dilaungkan. Aku tak tahu siapa yang melaungkan azan. Tidak ada masa untuk ambik tahu. Hampir semua yang mengerumuni mengucap dan membaca apa-apa saja ayat suci yang terlintas di fikiran. Bunyi jeritan, bacaan ayat suci berbaur. Jurulatih dan pegawai bertugas menerpa masuk.
“Kerumun dia!’ arah jurulatih. GI Ayub namanya.
Aku dan beberapa orang rakan lain mendekati dan menerpa. Tendangannya tepat mengenai muka seorang dua rakan aku. Aku melihat mereka terpelanting ke belakang. Kuat tendangan itu. Mat Yus yang agak besar badannya sempat menindih badan. Baru perasan, rakan yang sedang dirasuk itu namanya Junaidi, rakan kami dari Rantau Panjang, Kelantan. Kami segera membantu menekan kakinya yang sedang menendang dan selebihnya cuba mengunci pergerakannya.
“Lepaskan!!! Lepaskan…!!” Junaidi terus menjerit dan menendang, kuat dan nyaring.
Kami tidak sedikit pun melonggarkan tekanan. Ayat-ayat suci yang mudah dan yang kami hafal dibacakan dan semburkan ke muka Junaidi. Beberapa minit kemudian, kekuatan Junaidi mula mengendur. Ketika beberapa orang di antara kami mula berundur untuk memberi ruang udara kepada Junaidi, seoarg rakan kami yang turut membantu tadi tiba-tiba menjerit kuat. Tangannya menuding ke arah kipas yang sedang berpusing.
“Budakkkk kecikkk!!! Budakkk kecikkkk!!!” pekiknya.
Kami tidak tahu budak kecik mana yang dia maksudkan tetapi apabila kami menoleh ke arah kipas yang sedang berpusing, kelihatan sosok kecil seorang budak sedang menari-nari di atas bilah kipas yang ligat berpusing. Aku masih ingat dengan jelas, sosok tubuh budak lelaki itu tidak berpakaian, tingginya sekitar budak berumur 2 tahun, memandang liar ke arah kami sambil berjoget dan ketawanya mengekek.
(Suara ngengekannya itu masih jelas dan terngiang-ngiang hingga sekarang).
“Allahuakbar!!!!” Serentak kami menjerit dengan kuat, bergema dan bersahutan. Lembaga budak kecik yang menari itu tiba-tiba melompat ke lantai dan dengan tangkas dan berlari ke arah pintu keluar, sebelum melompat dan menghilang dalam kegelapan.
Suara kami melaungkan Allahuakbar kuat kedengaran dan kami pasti ia didengari oleh rakan-rakan kami di blok bersebelahan. Lembaga budak kecik tadi hilang dari pandangan. Junaidi termengah-mengah kembali pulih dan suaranya juga garau seperti Baharti dan suara Nirwan. Kami menggerumuni Junaidi beberapa ketika, membacakan ayat-ayat alquran sehinga dia benar-benar tertidur.
Malam itu seperti malam-malam sebelumnya, tidur kami juga tidak sempurna. Kami tidur berhimpitan kerana khuatir dirasuk.
Pagi esoknya, satu lagi kejadian aneh berlaku. Pukul 7 pagi, ketika kami semua sedang beratur di hadapan blok penginapan sebelum memulakan kawad pagi dan jurulatih sedang memberi arahan kepada semua rekrut, seorang ‘sentri’ yang juga senior kami datang secara tergesa-gesa, masuk ke dalam pejabat jurulatih dan kemudian bergegas keluar bersama pegawai yang kami belum kenali itu menuju ke padang kawad berhampiran. Sejurus kemudian, terdengar jeritan supaya beberapa orang di antara kami diarahkan ke padang untuk mengambil sesuatu yang baru dijumpai.
Sekitar beberapa minit kemudian, sebuah katil besi diangkat oleh empat orang rakan kami ke tepi bangunan. Di atasnya, terbaring salah seorang rakan kami dari dormetri yang berbeza, masih tidur dan berselimut dengan nyenyaknya.
Kami tidak ada jawapan kepada persoalan ini. Semasa mengira jumlah kehadiran rekrut tadi, semua nama yang dipanggil menyahut dan tidak ada yang ketinggalan. Siapakah yang menyahut panggilan bila namanya dipanggil tadi menjadi persoalan. Kami pandang kiri kanan. Rakan-rakan kami juga terkedu.
Seperti Baharti dan Nirwan, Junaidi juga tidak sedar dan tahu apa yg berlaku padanya malam tadi. Ia meninggalkan persoalan yg sukar kami jawab.
Sekian dulu utk kali ni. Kita jumpa next episode. Siri Bukit Kamal Menjerit ini akan dikekalkan dengan cerita yang berbeza. Semuanya berdasarkan pengalaman saya semasa menjadi anggota TLDM, termasuk di kapal-kapal dan semasa bertugas di mana-mana InsyaAllah.
Keterangan gambar:
Gambar sebahagian Intake 141 Class Charlie pada hari akhir tamat latihan 6 bulan rekrut pada bulan Februari 1981. Ada antara kami yang sudah dipanggil menghadap Ilahi, sementara yang lain berselerak di seluruh negara. Doakan kesihatan kami untuk mengharungi usia tua kami, InsyaAllah.
Gambar 2 ialah saya ketika rambut masih belum dipangkas, kira2 sehari sebelum bergelar rekrut.
Sedikit biodata ringkas penulis:
Nama saya Safri Ali, menjadi anggota TLDM selama hanya 13 tahun bermula Ogos 1980 hingga 1993. Melanjurkan pelajaran ke peringkat ijazah komunikasi dan kemasyarakatan (USM) pada 1986 semasa masih berkhidmat di Kementerian Pertahanan (Perhubungan Awam) dan Ijazah Lanjutan (Postgraduate student) di Universiti Teknologi Mara (UITM) di Faculty Hotel and Tourism Management pada 2013. Selepas berhenti TLDM, bekerja sebagai wartawan di Berita Harian dan beberapa buah majalah lain dan menulis hampir semua genre termasuk, cerpen, puisi, esei, makalah dan jurnal.
Sekarang saya menjadi pemilik kepada dua buah syarikat pengurusan pelancongan (Travel Agent) di Kuala Lumpur dan juga sedang mengusahakan sebuah syarikat mengeluarkan batu kuari di Phnom Penh, Kemboja.
Cerita-cerita yang tersiar di sini semuanya berdasarkan pengalaman sebenar saya. Alhamdulillah saya diberi peluang untuk merasa sedikit pengalaman mistik di semua tempat, terutama ketika di kapal TLDM. Saya akan cuba ceritakan mengikut ruang masa yang diberikan. Terima kasih kerana menyokong tulisan saya.
Ulasan
Catat Ulasan