3 Untuk apa aku ke sekolah?

 3

1975.
SUATU KENANGAN.
.




"Kaki kamu sudah keluar empat jari. Bagaimana kamu berjalan? Beli saja kasut baru, bukan mahal sangat. Minggu depan saya tidak mahu lihat kamu pakai kasut ini lagi, " tegur cikgu yang bertugas di perhimpunan hari itu.
Aku tunduk. Aduh! Terkeluar juga tiga jari kaki aku walaupun aku cuba rapatkan ke tepi kasut yang kainnya masih belum terkoyak.
Dadaku berombak ganas. Aku mahu menangis di situ saja tatkala mendengar teguran cikgu. Sungguh sensitif hati aku yang dilahirkan sebagai anak miskin. Apatah lagi apabila aku lihat beberapa orang murid menoleh pandang. Aku lihat mereka menjeling dengan mimik muka mencemek. Sungguh aku malu.
"Saya tidak mahu lihat kamu pakai kasut ini lagi," kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga.
Sepanjang perjalanan pulang dari sekolah, kata-kata itu mengganggu fikiranku. Aku berhenti di bawah sebatang pohon tembusu yang tumbuh merendang. Pohon itulah tempat aku berhenti lelah setiap hari. Jarak perjalanan 1.3 km sehala berjalan kaki walaupun tidak terlalu jauh ketika itu, tetapi agak melelahkan.
Selalu sahaja aku tertidur di situ apabila terlalu lapar. Abah hanya bekalkan lima sen duit belanja yang hanya boleh beli sebatang keropok lekor. Jika ingin membeli sepinggan mi goreng, aku perlu menunggu esok.
Setiap kali pulang dari sekolah, aku akan merempuh kemuncup yang berbunga tegak mencari pokok kemunting yang berbuah ranum untuk mengalas perut sebelum meneruskan perjalanan ke rumah.
Aku resah. Walaupun aku hanya gadis cilik ketika itu, aku sudah faham makna kemiskinan. Bagaimana cara aku ingin beritahu abah?
Aku tahu abah tiada duit sekarang. Setiap hari ulang alik bertukang rumah tetapi aku jarang nampak upah yang abah bawa balik. Ada ketika aku mencuri dengar keluhan abah,
"Dah acap kali aku minta duit, tapi sama saja jawapannya. Tiada duit untuk bayar upah aku. Biarlah kalau begitu. Aku tidak mahu menagih lagi. Mungkin tiada rezeki aku."
Aku kecewa tatkala mendengar rungutan abah. Maksudnya kami adik-beradik terpaksa ikat perut lagi. Semalam umi suruh aku pinjam semangkuk beras dengan jiran yang agak rapat dengan kami.
"Beras sudah habis. Umi tiada duit nak beli beras. Hani bawa mangkuk ni ke rumah Semek. Minta pinjam beras semangkuk, nanti kita masak bubur."
Aku mengambil mangkuk kecil yang dihulur umi. Aku berlari pantas untuk segera sampai ke rumah Semek. Aku ingin segera sampai ke sana.
Walaupun aku hanya seorang kanak-kanak yang hanya berusia 9 tahun, aku sudah ada perasaan malu. Apabila berselisih dengan orang, mangkuk kecil itu aku sorok di belakang.
Mak Mek, ibu kawanku Semek baik orangnya. Walaupun dia serba kekurangan seperti kami tetapi dia banyak membantu.
Alhamdulillah, malam itu kami dapat makan bubur. Kebetulan Mak Mek beri sebiji kelapa. Kelapa itu abah parut dan ambil santannya untuk dicampur ke dalam bubur. Sedap juga. Ada rasa lemak pada bubur nasi yang umi masak walaupun tiada lauk yang lain.
Bubur nasi hidangan makan malam itu terasa sangat enak tetapi terpaksa dicatu. Aku tidak pasti sama ada abah dan umi makan atau tidak, tetapi syukur kerana kami adik-beradik masih ada rezeki untuk kami nikmati
Kadangkala, lauk kami hanya pucuk ubi dicicah budu. Acap kali juga aku menggelupur sakit perut kerana terlalu banyak makan pucuk ubi. Tiada lauk lain hanya sekadar pucuk ubi gajah tepi perigi itu yang jadi habuan kami. Kata orang pucuk ubi gajah beracun, tetapi yang beracun itulah yang menjadi rezeki kami.
Aku suka akan bunganya. Umi akan masak lama-lama dan ramas dengan garam kasar untuk elak angin dan kembung perut. Tetapi jika nasib tak baik, aku menggelumpur kesakitan kerana sakit perut.
Jika abah ada duit dapatlah kami makan ikan tamban atau selayang goreng. Selalu juga umi masak singgang. Itu sudah cukup lazat bagi kami.
Ayam? Abah ada memelihara beberapa ekor ayam kampung, tetapi biasanya bukan untuk di makan. Kata abah kalau dapat nombor satu atau nombor dua barulah abah sembelih ayam itu.
Hari ini cikgu suruh beli kasut baru. Bagaimana aku nak beritahu abah? Aku sudah pasti akan jawapan abah, tunggu abah ada duit.
Hari itu longlai kakiku melangkah pulang dengan kasut yang tapaknya tembus di tumit dan jari-jari kaki yang terkeluar di hujung.
Apabila tiba di rumah, mataku melilau mencari kelibat umi. Mana umi? Perutku sudah tersangat lapar.
Aku angkat tudung saji, kosong. Tiada apa yang boleh dimakan. Aku buka tin beras, kosong. Kalau ada beras, boleh saja aku masak nasi. Aku sudah diajar oleh umi cara memasak nasi guna dapur kayu.
Sedang kepalaku buntu tiba-tiba mataku terpaku pada tempurung kelapa yang terlingkup. Alhamdulillah, mudah-mudahan adalah kelapa yang boleh dibuat alas perut.
Aku tersenyum lega. Tempurung kelapa masih ada tersisa kelapa yang belum dikukur. Aku angkat kukur kelapa. Kelapa aku kukur dapat segenggam kecil. Itulah rezeki aku ketika itu. Alhamdulillah.
Aku ke perigi. Air perigi aku timba dan gogok. Mudah benar hidup aku ketika itu. Asal ada yang boleh dimakan, aku makan. Tidak sedikit pun merungut dengan kemiskinan.
Petang itu umi pulang dengan wajah sedikit ceria.
"Alhamdulillah, Pak Su bayar upah isi keret tembakau, bolehlah beli beras dan ikan," beritahu umi apabila aku lihat ada menu ikan tamban goreng petang itu.
Sedap sungguh ikan tamban apabila digoreng garing. Ikan tamban itu umi kelar halus agar kami adik-beradik tidak tercekik tulang.
Ada ceria pada wajah umi tatkala bercerita. Hati aku juga lega. Aku bercadang untuk beritahu umi abah tentang kasut aku yang sangat uzur dan yuran sekolah. Umi sudah dibayar upah mengisi tanah dalam keret tembakau. Aku boleh minta upah bahagian aku.
Keret itu ialah tapak semaian anak-anak pokok tembakau sebelum di pindah ke batas.
Setiap petang selepas balik dari sekolah, kami adik beradik akan mengekor di belakang umi untuk membantu mengambil upah mengisi tanah ke dalam keret.
Upahnya hanya 20 sen untuk seratus keret. Namun tahun itu tuan punya ladang tembakau bermurah hati menaikkan harga upah 40 sen seratus keret. Ironinya sepetang kerja kerasku jarang sangat untuk cukupkan 100 keret.
"Berapa ringgit upah yang dapat?" Tanya abah.
"Tak banyak. Bolehlah beli beras segantang, gula sekati, minyak dan tepung," jawab umi.
Telinga lintahku yang mencuri dengar perbualan umi abah telah mematahkan selera aku. Kunyahanku kembali perlahan dengan rasa sebak di dada. Mulutku perlahan-lahan mula terkunci.
Aku tidak dapat meneruskan permintaan. Aku pasti, hanya sia-sia. Serta merta semangatku untuk belajar dan dapat nombor satu musnah.
Berdepan dengan desakan cikgu merupakan sesuatu yang sangat berat untuk aku hadap. Apatah lagi jika ada usikan nakal kawan-kawan. Anak miskin seperti aku tidak layak untuk berada di sekolah.
Dan kerana itu aku nekad. Aku tidak mahu kembali ke sekolah. Aku tidak sanggup menempuh penghinaan lagi.
"Awak anak orang miskin tak boleh bersekolah di sekolah ini. Sekolah ini hanya untuk anak-anak orang kaya sahaja."
Kata-kata nakal teman sekelas yang selalu membuli aku dengan merapatkan mejanya sehingga aku tersepit, kembali terngiang-ngiang di telinga.
Untuk apa aku ke sekolah?
...... bersambung.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SISTEM PEMBUMIAN ELEKTRIK

Definasi Alatubah

Jutawan Chewing Gum atau gula-gula getah, Beau Wrigley akan mengeluarkan rangkaian produk mereka berasaskan sebatian kanabis