saya diuji dengan murid yang selalu ponteng sekolah. Sayang, orangnya cantik dan bijak

 

CERITA CIKGU

💕💕
Sepanjang 27 Tahun Perkhidmatan. ( Hanya Sekelumit Kisah)

Cikgu Hanani Daud
.
.
‎Tahun pertama perkhidmatan saya diuji dengan murid yang selalu ponteng sekolah. Sayang, orangnya cantik dan bijak tetapi selalu tidak hadir.
Suatu hari kerana tidak tahan dengan keluhan saya, suami membawa saya menyusuri lorong-lorong sempit, jalan denai untuk menjejak rumah anak yang cantik itu. Sesekali perut yang memboyot 8 bulan kandungan anak pertama terhentak oleh jalan yg lekuk-lekak. Menyengek muka menahan perit.
Namun tatkala tiba di rumah anak itu,
" Itu masalah kami nak sekolahkan atau tidak anak kami. Cikgu siapa? Cikgu tiada kaitan apa-apa dengan kami."
Saya bercakap dengan sopan menerangkan tentang pentingnya ilmu, tetapi kesudahan yang saya terima...
"Baliklah cikgu. Saya tidak perlukan pendapat cikgu."
Saya dihalau.
Hanya selepas dua tahun, baru anak murid saya datang semula untuk bersekolah. Tetapi dengan syarat...
"Saya nak cikgu Hanani yang mengajar anak saya."
Baiknya ketua saya. Hanya kerana memberi ruang untuk anak itu bersekolah, jadual waktu dirombak. Asal anak itu tidak terus tercicir, pihak sekolah memenuhi permintaan itu.
.
.
Detik 10 malam, saya dikejutkan dengan suara teriakan seorang lelaki memanggil-manggil nama saya. Saya mengintai di sebalik cermin nako. Saya lihat ada seorang ayah, mengheret anaknya yang menangis meraung keluar dari perut kereta.

" Cikgu...! teriakannya semakin kuat.
Saya membuka selak pintu. Belum sempat bersuara lelaki sasa itu berkata,
"Kawan anak saya beritahu yang cikgu tuduh anak saya menonton video lucah. Saya kenal anak saya. Anak saya tidak akan buat perkara tidak senonoh begitu. Cikgu jangan pandai buat fitnah."
Kecut perut saya melihat suara dan perlakuannya yang kasar. Namun saya hadap masalah itu dengan tenang.

Saya menarik nafas mencari kekuatan. Kemudian melepaskan pandangan pada anak kecil di tahun empat itu,
"Cuba cerita pada cikgu, suara yang awak ajuk dalam kelas tadi awak dengar di mana?"
Anak itu terdiam sejurus, kemudian menghela senyuman dan bersuara lembut,
"Ceritalah...kita mesti jujur. Allah sayang orang yang jujur,"

Anak itu menjawab,
"Saya ajuk daripada filem yang saya tonton,"
"Di mana awak tonton filem itu?"
"Di rumah semasa mak dan ayah pergi kerja."
" Awak dapat dari mana video tu?"
" Atas almari... Ayah punya!"
"Mari balik..."
Ayah yang berbadan sasa itu menarik tangan anaknya, membuka pintu kereta dan berkata,
"Maafkan saya cikgu..." kemudian berlalu pergi dengan deruman enjin kereta yang kuat. Alhamdulillah, saya menarik nafas lega.
.
.
Suatu hari seorang ibu bertemu saya dengan esak tangis,
"Cikgu! Saya nak berhentikan sekolah anak saya. Suami saya dalam wad psikiatrik, tidak tahu bila akan keluar. Saya tiada duit nak biaya persekolahan anak saya sepanjang ayahnya tiada."
" Jangan berhentikan. Hanya pelajaran saja yang dapat mengubah nasib kita. Kalau sekadar belanja sekolah tak apalah, saya bantu," janji saya..

Alhamdulillah...
Anak kecil itu tidak dinafikan haknya. Cuma suatu hari seorang rakan sekerja mengadu,
"Akak tak payah bantu dia lagi. Selalu saya dengar bukan terima kasih yang diberi, tapi umpatan dan kutukan sahaja. Macam-macam gelaran yang saya dengar diberinya pada akak."
Saya ketawa saja tidak mahu ambil hati. Kata saya...

"Akak tetap akan bantu anaknya sebab anaknya tidak ada salah apa-apa. Yang tidak tahu bersyukur itu emaknya. Akak tidak akan menghukum anaknya atas sikap dan kesalahan emak."
Setiap hari dia hadir ke sekolah untuk bersama anaknya dari pagi sampai tamat sesi persekolahan. Dia setia menanti anaknya di kantin sekolah.

Saya mungkin dianggap bodoh kerana masih menyantuni dia dengan baik walaupun saya tahu saya selalu dikutuknya dengan pelbagai gelaran.
Gelaran cikgu singa itu biasa menerjah cuping telinga. Cikgu gemuk juga selalu. Tetapi saya sebagai guru tidak pernah ambil hati.

Tidak pernah serik untuk membantu kerana saya seorang guru. Malah apabila tahu dia ada kemahiran mengait saya sengaja menempah alas meja dengan dia. Upahnya boleh tahan.
"Mengapa dilayan dia akak..."

"Akak tidak perlu sangat alas meja tu. Akak tahu upah yang dia ambil itu mahal tetapi akak tempah juga untuk memberi dia rezeki."

Hanya guru saja yang faham apa yang ada di hati seorang guru. Meski apa juga cemuhan dan ejekan, kami cikgu tetap cikgu walaupun bercerai tulang dan daging.

Walaupun jauh dipisahkan permaidani rumput, cikgu tetap dipanggil cikgu. Jadi tulikan telinga, tebalkan muka atas apa-apa juga yang diperkatakan tentang cikgu kerana kita CIKGU.
Suatu rasa yang paling indah itu apabila kita masih mampu memberi senyuman dan menyantuni orang yang mengutuk dan menghina kita itu dengan baik, demi ukhwah sesama saudara Islam.
Saya tahu dia mengutuk tetapi saya masih mampu untuk mengorak senyuman kerana saya masih ada ihsan. Saya masih memberi dia ruang untuk berubah dan menerima saya.
Namun selepas peluang yang diberi itu tidak dimanfaatkan, sekali saya berpaling dan tutup pintu, tiada apa yang dapat melunakkan hati saya semula.

Itulah saya.
Siapa kata yang terlalu berkira dengan maaf? Saya sentiasa memaafkan, kecuali atas sesuatu yang saya nilai keterlaluan dan MELAMPAU.
WALLAHU A'LAM.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SISTEM PEMBUMIAN ELEKTRIK

KAMPUNG Janda Baik pada asalnya mula diteroka dan dibuka oleh tiga orang individu yang datang dari Bentong, Pahang pada 1932 iaitu Haji Yaseh Da’un, Haji Kadir Hitam dan Haji Idris Awang.

Sebagai anak, sudah tentulah kita perlu menghormati orang tua masing-masing sekalipun mereka hanyalah ibu dan bapa angkat kita