APABILA CIKGU MEMBEBEL
APABILA CIKGU MEMBEBEL...
Sebagai guru saya sangat kecewa. Selalunya saya hanya memerlukan dua bulan paling lewat untuk anak-anak UPSR faham dengan teknik penulisan yang saya ajar. Keserasian antara guru dan murid itu penting untuk mencerna kecemerlangan mereka.
"Saya sangat kecewa dengan kamu. Jenuh saya ajar tetapi ramai yang tidak mahu ikut. Saya pasti kamu ada guru yang selain saya," bebelan saya bermula.
Anak-anak UPSR saya faham apabila saya mula membebel, agak sukar untuk berhenti. Tetapi itu lebih baik daripada diam. Seandainya diam tahap kesabaran saya memuncak. Kesannya? Alahai...
Saya kecewa... Bulan sudah berganjak ke penghujung April, tetapi ramai yang menolak saya. Untuk apa saya membodohkan diri mengajar jika mereka lebih percaya guru tuisyen berbanding saya?
Kalau guru tuisyen yang mereka dalami ilmunya benar-benar membantu, saya hargai kerana meringankan dan memudahkan urusan saya. Malangnya anak-anak UPSR saya semakin jauh daripada apa yang saya sasarkan.
"Benar, saya hanya cikgu sekolah rendah tetapi pengalaman saya mengajar Bahasa Melayu sudah 26 tahun. Kamus sepanjang masa ada di tangan dan saya tidak pernah berhenti merujuk. Saya juga sepanjang masa ada untuk kamu. Jika ada masalah tentang BM, whatsapp saja... insya-Allah saya akan balas, " leter saya lagi
"Saya pasti kamu lebih percaya guru tuisyen kamu sebab dia lulusan universiti, mengajar di sekolah yang
hebat
, tetapi saya guru kamu. Saya ajar kamu untuk faham dan dapat aplikasikan teknik bukan sahaja untuk menjawab UPSR, tetapi untuk persediaan kamu ke sekolah menengah. Sedangkan guru tuisyen kamu ajar teknik untuk target lulus... sebab itu kamu memilih untuk ikut dia kononnya mudah,""Tolonglah faham...Saya beri tempoh dua minggu untuk kamu berubah. Cuba terima saya. Yakin pada saya. Kalau kamu ragu-ragu berguru dengan saya dan ingin cari guru tuisyen, tolonglah cari dan berguru dengan guru yang betul. Bukan hanya guru yang ajar kamu untuk target lulus UPSR,"
"Jika kamu tidak mahu berubah, saya tidak akan pedulikan kamu. Saya juga tidak akan restu ilmu yang saya bagi," tegas saya.
Saya lihat anak-anak yang saya maksudkan itu diam menunduk. Saya juga luahkan kekecewaan saya dalam 'whatsapp group ' ibu bapa. Alhamdulillah selepas itu ramai yang berubah untuk mencari keserasian dengan saya, kecuali seorang murid saya...
Ibunya menghubungi saya dan berterus-terang bahawa dia yakin dengan guru tuisyen anak-anaknya walaupun guru itu sudah meninggalkan alam persekolahan. Sungguh saya terluka ketika itu.
Benar... saya kota apa yang saya kata. Saya mengajar seperti biasa, tetapi apabila melihat latihan yang dibuat tidak menepati apa yang saya inginkan, latihan itu saya letak tepi. Kata saya..
"Kamu masih belum berubah. Saya pasti kamu akan menyesal suatu hari nanti. Kamu juga harus tahu, saya tidak restu ilmu dan saya anggap kamu sedang mencuri ilmu saya,"
Alhamdulillah..
Seusai Percubaan UPSR, dia mula berubah dan mengikut rentak saya. Sewaktu UPSR diumumkan, dia datang kepada saya dan berkata..
"Terima kasih cikgu. Saya dapat A dalam BMK dan BMP sebab saya ikut cara cikgu. Sebelumnya tidak. Saya lebih percaya guru tuisyen saya, sebab caranya lebih mudah. Tapi setelah cikgu acap kali pulangkan latihan dengan tidak disemak, saya mula ikut cikgu. Akhirnya saya dapat A untuk kedua-dua kertas BM,"
.
.
Ibu-ibu di luar sana...
Kita tidak perlu berhabis duit dengan mengupah guru luar untuk kecemerlangan anak-anak kita. Guru-guru yang ditugaskan mengajar di sekolah sudah cukup memadai untuk menggarap impian kita.
Kecemerlangan anak-anak saya semuanya melalui guru mereka di sekolah. Saya tidak berhabis duit untuk mengupah guru tuisyen. Mereka sama seperti anak-anak yang lain, bukan semula jadi bijak, tetapi bijak itu lahir dengan usaha.
Saya juga buktikan dengan sekumpulan kecil anak-anak UPSR yang saya pantau pembelajarannya di rumah. Saya tidak mengajar mereka untuk subjek yang bukan kemahiran saya.
Hanya sekadar pastikan mereka membuat latihan, kemudian memeriksa sendiri latihan tersebut dengan merujuk jawapan yang diberi. Jika ada kemusykilan mereka sama-sama cari penyelesaian. Seandai masih kurang jelas barulah mereka rujuk saya atau guru subjek mereka di sekolah.
Itulah yang saya buat. Selalunya pencapaian mereka cemerlang dan membanggakan. Saya bukan guru tuisyen. Walaupun ditawarkan upah, saya menolak kerana saya tidak mengajar mereka. Saya hanya membantu ibu bapa untuk memantau kerja sekolah mereka.
Puan-puan....
Makna dan tuntutan 'Istiqamah bukan untuk di like dan share dalam laman sesawang, tetapi istiqamah perlu diamalkan. Latih anak-anak untuk sentiasa istiqamah dengan sesuatu amalan yang baik terutama dalam urusan menuntut ilmu. Ajar makna istiqamah yang betul seusai anak-anak baru melangkah ke bangku pra sekolah.
Bukan sukar seandainya anak-anak itu bermula dari awal. Jangan apabila menghampiri peperiksaan baru kita cakna.
"Belajar... ulangkaji, peperiksaan sudah hampir,"
Istiqamah belajar bukan untuk lulus periksa. Istiqamah belajar untuk ilmu. Ilmu yang dikutip adalah untuk manfaatkan diri sendiri dan khalayak. Barulah wujud makna mujahadah ilmu atau jihad.
Jika anak-anak hanya disedarkan menjelang peperiksaan, sekadar belajar untuk lulus dalam peperiksaan, amat sedih kerana suatu hari yang berada dalam masyarakat bukan dalam kalangan yang memanfaatkan ilmu untuk Islam, sebaliknya hanya sekadar untuk meneruskan hidup.
Puan-puan...
Pantau latihan anak-anak. Jika ada teguran daripada guru-guru tentang anak-anak kita jangan lantunkan semula teguran itu kepada pihak sekolah. Anak yang baik di mata kita belum tentu elok perangainya di belakang kita. Bincang dengan pihak sekolah dan segera cari solusi apa peranan kita sebagai ibu bapa...
Sentiasa memotivasikan anak-anak dengan ganjaran. Selalu sahaja saya dengar luahan anak-anak didik saya di sekolah,
"Kalau bawa balik keputusan yang cemerlang pun mak ayah cuma kata, Alhamdulillah... kekalkan atau usaha lagi untuk lebih cemerlang,"
Anak-anak itu berdiri atas fitrah ingin dihargai. Hargailah usaha mereka walaupun sekadar hidangkan dengan masakan kegemaran mereka,
"Mak masak lauk singgang ini khas untuk Along yang dapat A dalam subjek Matematik,"
Bukan susah untuk menghargai mereka. Walaupun 'menghargai itu kecil maknanya, banyak perkara besar yang lebih utama, tetapi yang kecil itu, impaknya besar. Jiwa anak-anak perlu hidup...
Sebagaimana kita mengharapkan hadiah atau ucapan kasih daripada pasangan setiap kali ulang tahun, begitu juga anak-anak. Mengapa perlu dinafikan hak mereka?
Pandanglah ke wajah manis anak-anak kita. Tanya diri kita, apa yang kita harapkan daripada mereka. Semuanya bermula daripada 'air tangan kita, usaha kita ....warna apa yang kita inginkan.
Anak-anak yang lahir tanpa secalit dosa pimpinlah, bimbinglah mereka. Semoga anak-anak akan kembali bersama kita berkumpul di syurga.
Wallahu'alam.
Ulasan
Catat Ulasan