BUKIT KAMAL MENJERIT VII Tulang tu jaga elok-elok. Ada orang yang akan jumpa anak nanti minta tulang dia semula

BUKIT KAMAL MENJERIT VII

(Semua cerita aku ini berdasarkan kisah benar yang berlaku pada diri aku sendiri, atau kawan-kawan rapat terdekat. Ia berlaku sekitar 1980 hingga 1993. Latar kejadian berbeza, di darat dan di laut, semasa bertugas sebagai anggota LLP di TLDM. Olahan, plot, penceritaan aku susun sebaiknya supaya menimbulkan suasana. Mohon sokongan)

Malam itu, selepas Isyak, selepas kami baca Yassin beramai-ramai, aku disoal bertalu-talu oleh rakan-rakan di dormetri. Mat Yus interrogate aku macam pegawai penyiasat. Aku dipersalahkan kerana meninggalkan mereka berlima di blok bujang itu dan menghilang tanpa khabar berita. Hairan juga, kerana seingat aku, mereka berlima tahu dengan siapa aku keluar untuk bermalam pada malam kejadian.

“Mana ada, aku nampak kau sorang diri jer tinggalkan kami, tak nampak Shaari pun’” getus Zaman (arwah).
“Dia kan datang ajak aku. Kau semua ada kat sini masa dia datang,” aku pertahankan tindakan.
“Kau pikul beg pakaian, tinggalkan kami masa maghrib. Kau tak inform kami pun,” kata Yoyo.

Aku ceritakan semua yang berlaku, dari mula tinggalkan rakan-rakan yang pada sangkaanku mereka tahu ke mana aku hendak pergi, kemudian tidur di rumah Shaari, seorang pakcik yang tiba-tiba muncul bersila di sebelah aku meminta aku menyimpan tulangnya yang ketika itu masih dalam beg pakaian dan akhirnya balik semula ke dormetri.
“Mana Shaari?” Tanya Dagu.
“Dia balik blok dia.”
“Kau tidur bersama kami di sini malam tadi. Tapi kau kata kau tidur rumah Shaari. Blok kita dah jadi sarang hantu dah,” Kata Yoyo.

Sekitar pukul 10, sebelum lampu blok dipadamkan, kami berjalan ke dormetri Shaari di sebelah. Shaari ada, bersiap sedia untuk tidur. Ternyata dia memang duty sentry pada malam kejadian. “Aku duty pintu 3 katanya,”, menunjukkan buku log awasan yang ditandatangani semasa memulakan dan menamatkan tugas pagi tadi. Sah sekarang, Shaari bertugas dan tidak ke mana-mana malam semalam. Soalnya aku pergi ke rumah yang dikatakan rumah Shaari tu dengan siapa, tidur pula di rumah siapa. Tulang yang masih tersimpan dalam beg pakaian di blok aku sekarang itu siapa pula yang memberinya. Siapakah empunya tulang itu. Siapa pula orang tua yang berbual dengan aku seketika di ‘rumah’ Shaari itu. Siapa yang menggantikan aku semasa ketiadaan aku ke rumah Shaari malam tadi dan berbual dengan rakan-rakanku di blok penginapan. ‘Shaari’ mana pula yang menemani aku ke ‘rumah’nya malam semalam dan Shaari mana lagi yang menemani aku pulang ke blok penginapan.

Aduhhh, semua persoalan itu mengganggu. Seorang pun kawan-kawan tidak dapat memberikan jawapan. Dua tiga kali Mat Yus dan kawan-kawan mempersendakan aku sambil berkata mereka sedang berjalan dan bercakap dengan hantu, dan bukan aku sendiri. Gurauan itu memang jenaka, tetapi ia serius dan ia tidak membuatkan kami ketawa pun.

Malamnya, aku yang paling sukar hendak melelapkan mata. Mat Yus, Raja, Haizi, Yoyo, Dagu, Zaman hanyut sebaik tengah malam. Dua tida orang lain masih ada yang meniarap menulis surat bertemankan lilin terpasang di sebelah. Kami tidak bercakap pun.

Terdengar tapak kaki menghampiri. Hah, Nirwan!
Aku bingkas duduk. Nirwan duduk di sebelah.
“Kau ke rumah Shaari semalam?” tanyanya.
Aku angguk. “Siapa bagitahu?”
“Shaari, tadi. Dia kata kau pergi dengan hantu..” katanya senyum meleret, dalam kegelapan lampu yang sudah dipadamkan.
“Kata kau bawak balik tulang orang?” tanya Nirwan, pandang tepat ke muka aku.
Aku tahu Shaari yang beritahu dia tentang perkara ini. Selain rakan-rakan rapatku, Shaari saja yang tahu perkara tulang ni.
“Tu ada dalam beg.” Kata aku tunjuk ke arah beg dalam locker.
“Simpan elok-elok bang. Banyak benda misteri terjadi sekarang. Kau pun akan berdepan dengan macam-macam perkara nanti,” kata Nirwan bingkas bangun dan mula berjalan ke arah pintu.

Sebaik Nirwan melepasi seorang dua rakan-rakan yang sedang tidur, tiba-tiba rakan yang sedang tidur di katil bersebelahan melompat dan menjerit kuat. Kami semua terkejut.  Rakan itu menjerit, membuka langkah silat  dan mula menendang. Nirwan terhenti dan kami semua menerpa ke arah rakan yang menendang keras.

“Allahuakbar….allahuakbar!!!” jeritnya kuat sambil menendang angin. Satu dua tendangannya mengena besi katil.
Kawan-kawan sudah mula menerpa untuk menindih. Baharti lagi. Baharti masih dalam langkah bersilat, menyepak sesiapa saja yang mendekati.
“Hantu! Hantu…Allahuakbar…allahuakbar!!!” Jerit Baharti.
Aku juga bersama Mat Yus dan Zaman bergelut cuba merebahkan Baharti. Beberapa orang datang membantu.

Ayat-ayat suci dibacakan dan dihembus ke muka Baharti. Dagu melaungkan azan. Jurulatih menjengukkan muka bersama sentry yang bertugas dan bergegas membantu kami. Aku pandang belakang. Nirwan sudah hilang dan tidak ada kelibat dia di situ. Mungkin sudah balik ke dormetrinya di sebelah.

Baharti kembali pulih sejam kemudian. Kami berterusan membaca alquran untuk malam itu, sekurang-kurangnya sehingga pukul 3 atau 4 pagi. Sebelum subuh, seorang rakan datang memberitahu Nirwan tidak ada di tempat tidurnya.

Sehingga pagi, Nirwan tidak dijumpai. Rakan-rakan di dormetri lain juga cuba mencari tapi tidak bertemu. Pukul 8.30, selepas breakfast, aku, Mat Yus, Yoyo dan Shaari mula melangkah keluar dari pangkalan menuju Batu 9, Lekir untuk menyelesaikan kemelut yang semakin kusut.

Sebaik kami melepasi pintu 3 ke pekan Lumut, aku berhenti kira-kira 100 meter dari situ. Hutan kecil di kanan jalan, di kaki bukit di sebelahnya. Seperti ada jalan kecil di seberang parit kecil. Di situ ‘Shaari’ mengambil bungkusan yang mengandungi tulang sebelum diserahkan pada aku pada malam kejadian.

Shaari melompat parit kecil dan meninjau sekeliling. Tidak ada sesuatu pun yang kami jumpai di situ. Dia melompat parit semula dan menuju ke arah kami sebelum kami meneruskan perjalanan ke pekan Lumut.
“Mana tulang tu?” Tanya Shaari padaku.
Baru aku sedar, aku seharusnya membawa bungkusan yang mengandungi tulang itu bersama-sama ke rumah Shaari hari ini. Kami rancang untuk ‘kebumikan’ tulang itu di kubur nanti.
“Jom jalan. Kita bawak tulang tu semula. Sekarang kita gi kubur ayah kau Shaari.” Arah Mat Yus.

Matahari masih belum tingi ketika bas yang kami naiki sampai di Batu 9 Lekir. Shaari picit loceng bas dan kami berhenti betul-betul di tepi bangsal di depan rumah ‘Shaari’.

Tidak ada sebarang rumah di situ.  Di kiri kami ialah kawasan perkuburan . Pokok kelapa melambai di kanan jalan. Tidak ada kereta yang lalu lalang di situ semasa kami melangkah ke arah kubur yang terhampar di hadapan. Shaari mendahului.

Pagar dawai yang mengelilingi kubur sudah banyak yang berkarat dan usang. Kubur lama, kata aku dalam hati. Mat Yus memberi salam, agak kuat. Kami juga turut mengucapkan salam walaupun tidak sekuat Mat Yus.

Shaari menuju ke kubur ayahnya yang terletak di hujung sebelah kiri. Kami menuruti dari belakang. Aku berjalan paling belakang. Di kejauhan, kelihatan seseorang sedang membersihkan kubur, membongkok mencabut rumput-rumput. Apabila melewatinya, seorang tua dalam lingkungan lewat 70an menegur aku. Aku memperlahankan langkah.
“Hendak ke kubur siapa nak?” tanyanya.
“Kubur hujung, ayah kawan saya yang di depan tu,” tunjuk aku ke arah Shaari yang sedang berjalan. Mat Yus, Yoyo mengikutinya.
“Hati-hati ye nak. Tulang tu jaga elok-elok. Ada orang yang akan jumpa anak nanti minta tulang dia semula.” Katanya perlahan.

Kali ini langkah aku benar-benar terhenti. Bulu roma meremang serta merta. Allahuakbar, kata aku dalam hati. Aku pandang mukanya dengan  kehairanan. Di tangannya orang tua itu ada tanah-tanah yang melekat.

Aku mendengar namaku dipanggil. Yoyo datang tarik tangan. Aku belum sempat bertanya apa-apa kerana orang tua itu sudah tiada di situ. Memang kami berempat sahaja, dan tidak ada orang lain di perkuburan itu tengah hari itu.

Aku banyak berdiam ketika kami membaca surah Yassin di depan kubur ayah Shaari. Shaari mencabut rumput-rumput, membersihkan sekeliling batu nisan ayahnya. Selepas memberi salam, setengah jam kemudian kami meninggalkan kawasan perkuburan.

Tidak ada siapa pun yang sedar aku telah bertemu dengan orang tua di perkuburan tadi. Aku mengunci mulut dari rakan-rakanku.

Di blok penginapan lewat petang itu, kami cari Nirwan di dormetrinya. Nirwan masih belum ada dan masih belum dijumpai sejak peristiwa malam tadi.

Bersambung…

 Keterangan gambar:

Perbarisan Hari Tamat Latihan Intake 141 pada bulan Februari 1981 di padang kawad KD Pelandok, Lumut. 


Gambar dua, aku, Mat Yus dan Zul Lipis. Tempat tak ingat dah kat mana, tapi sekitar

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SISTEM PEMBUMIAN ELEKTRIK

KAMPUNG Janda Baik pada asalnya mula diteroka dan dibuka oleh tiga orang individu yang datang dari Bentong, Pahang pada 1932 iaitu Haji Yaseh Da’un, Haji Kadir Hitam dan Haji Idris Awang.

Sebagai anak, sudah tentulah kita perlu menghormati orang tua masing-masing sekalipun mereka hanyalah ibu dan bapa angkat kita