BUKIT KAMAL MENJERIT

BUKIT KAMAL MENJERIT

Peristiwa ni berlaku sekitar minggu pertama bulan Ogos 1980, ketika kami melaporkan diri untuk menjalani latihan rekrut di Pangkalan TLDM Lumut, Perak. Kumpulan kami agak ramai, hampir 400 orang yang diletakkan di bawah batch 141 dan merupakan batch ketiga yang menjalani latihan di pusat latihan TLDM ini. Pangkalan TLDM Lumut ini masih baru, belum diturap tar sepenuhnya, dormetri masih baru, jalan-jalan di depan blok masih berterabur dengan batu kerikil dan hutan di sekeliling masih belum diteroka. Senior kami, batch 139 dan 140 taklah seramai batch kami ini. Mereka hanya beberapa puluh orang sahaja. Kami dibahagikan kepada 8 dormetri berasingan, yang tiap dormetri mengandungi sekitar 35 hingga 40 anggota, semua rekrut baru. Kami ditempatkan di blok D7.

Hari pertama melaporkan diri, rambut semua dipangkas pendek. Hilang segala kemachoan kami sejak remaja. Hari itu kami rehat saja, menunggu esok untuk hari pertama sesi latihan dan bergelar rekrut.  Masing-masing borak dan pakat tersengih melihat rupa masing-masing. Malamnya hujan lebat, kilat menyambar dan guruh berdentum.

Hampir tengah malam, ketika ramai antara kami masih belum tidur tiba-tiba kilat menyambar kuat depan mata kami, serentak itu juga petir berdentum kuat. Beberapa orang rakan kami menjerit terkejut. Serentak itu juga, dalam hujan lebat dan kilat sambar menyambar itu, kami mendengar suara jeritan dari Bukit Kamal, bukit yang hanya beberapa meter dari dormetri kami. Mulanya kami tidak peduli sangat dengan jeritan itu dan meneruskan perbualan. Tetapi anehnya suara jeritan itu tidak terhenti dan rakan-rakan kami mendengar pelbagai versi. Ada yang mendengar jeritan, ada pula katanya seperti suara budak kecil menangis dan ada yang mendengar suara perempuan mengilai.

Tidak lama kemudian, kami terkejut dengan pekikan yang bersahut-sahutan rakan-rakan kami yang tiba-tiba diserang histeria. Bukan sorang dua menjerit tetapi agak ramai. Kami menerkam ke arah rakan rakan kami yang tiba-tiba menggelupur, menggelepar, suara bertukar menjadi garau, mata menjadi merah menyala dan menghumban siapa saja yang cuba menenangkan suasana. Hampir semua 8 dormetri terbabit. Suara jeritan, suara tapak kaki kami berlari kerana terkejut kebingungan dan suasana menjadi agak kelam-kabut. Kami hilang arah seketika. Yang agak alim sikit mula melaungkan azan. Yang lain-lain cuba membantu rakan kami yang ‘disampuk’. Lampu yang telah terpadam (dormetri rekrut kena padam lampu sebaik pukul 10 malam) dinyalakan. Menyala seketika, dan beberapa ketika lain menyala dan padam sendiri. Kami nampak suiz lampu ditekan oleh makhluk yang kami tak nampak dan tak tahu siapa. Kipas syiling berputar, berhenti dan berputar lagi dan terdengar gelak hilai yang kuat dari Bukit Kamal. Rakan-rakan kami bersahut-sahutan melaungkan azan dan jurulatih yang menjaga kami juga bertungkus lumus mengawal keadaan.

Akhirnya kami mengambil keputusan menghamparkan tilam kami secara dekat-dekat di atas lantai dan kami duduk berhimpitan. Beberapa orang rakan kami telah sedar dan seorang dua membacakan ayat-ayat suci. Malam itu tak ramai yang dapat tidur, dan suara menjerit dari Bukit Kamal berhenti serentak dengan hujan dua jam kemudian.

Itu adegan permulaan sesi perkenalan dari penghuni Bukit Kamal. Malam itu ramai yang tak tidur. Kami berjaga. Esoknya jurulatih kami inform supaya kami bersedia untuk menempuh pengalaman lain di hari-hari mendatang. Benar dan betul seperti apa yang diberitahu. Untuk malam kedua dan seterusnya selama 10 hari berturut-turut, hampir setiap malam berlaku kejadian aneh dan luar biasa kepada semua rakan-rakan kami. Suara menjerit, mengilai dengan suara yang menggerunkan berlaku setiap malam, rakan-rakan kami terpekik terlolong kena rasuk, ada yang nampak lembaga besar sedang tarik kaki rakan-rakan yang sedang tidur di atas katil, ada yang nampak budak kecik menari-nari atas kipas yang berpusing, ada yang terjun dari tingkat 4 bangunan D7 ke tanah (tinggi tu..) terus menghilangkan diri sehingga esoknya ditemui tidur terbongkang dalam longkang berhampiran, ada yang hilang dari tempat tidur bersama katil besinya dan esok pagi dijumpai tidur atas padang kawad bersekali katil dan tilamnya. Tak ramai yang berani hendak mandi berseorangan di bilik air kerana bilik air juga berjumpa dengan macam-macam rupa makhluk. Bilik air terkunci adalah lumrah. Kami masuk bilik air secara beramai-ramai dan mandi juga berbogel beramai-ramai.

Anehnya, waktu siang tidak ada kejadian gangguan makhluk halus ini. Semua rekrut menjalani latihan dengan aman. Gangguan hanya berlaku sekitar pukul 10, ketika kami diarahkan memadamkan lampu untuk tidur.

Ada banyak lagi kejadian gangguan makhluk halus ini selama 10 malam itu. Hampir semua dapat merasa, cuma gangguannya berbeza. Paling lumrah anggota badan dicuit dan serentak dengan itu juga pandangan menjadi gelap gelita. Jenuh juga kami baca quran,, baca Yassin malah ada yang letakkan surah Yassin bawah bantal, atas dada masa nak tidur. Tak menjadi jugak, gangguan terus berlaku sehinggalah seorang guru agama dipanggil untuk menteramkan suasana. Pada hari kesebelas dan seterusnya, gangguan terhenti. Tidak ada gangguan lagi. Kami menarik nafas lega dan tumpuan kami pada masa itu hanyalah kepada latihan rekrut oleh jurulatih yang banyak mendera mental dan fizikal anak muda seperti kami.

Keterangan gambar:
Sehari sebelum rambut kami kena pangkas. Bodi semua sekeping mcm papan. Kiri sekali Aziz Tanah Merah; aku yang bertuala hijau; duduk bercangkung tu dah lupa nama, duduk paling kiri Tengku Hassan; sebelahnya Wan Roslan dan paling kanan pun dah lupa nama. Rasanya sorang saja yang dah meninggal dunia, iaitu yang bercangkung bertongkat lutut di depan. Tengku Hassan dan Wan Roslan bisnes di Lumut. Aziz di Pahang.

Semoga semua rakan2ku ini sihat sejahtera dan dilindungi dari segala bala bencana, InsyaAllah.

InsyaAllah, next posting jumpa 7 puteri atas kapal masa kapal kami anchored kat Pulau Langkawi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SISTEM PEMBUMIAN ELEKTRIK

KAMPUNG Janda Baik pada asalnya mula diteroka dan dibuka oleh tiga orang individu yang datang dari Bentong, Pahang pada 1932 iaitu Haji Yaseh Da’un, Haji Kadir Hitam dan Haji Idris Awang.

Sebagai anak, sudah tentulah kita perlu menghormati orang tua masing-masing sekalipun mereka hanyalah ibu dan bapa angkat kita