BUKIT KAMAL MENJERIT V

BUKIT KAMAL MENJERIT V

Salam sejahtera tuan-tuan. Dalam siri kali ini saya akan menceritakan mengenai gangguan yang menghantui kami semasa peringkat awal latihan rekrut di KD Pelandok. Ada banyak jenis gangguan yang menjadikan sesetengah daripada kami murung dan cemas bila malam menjelang. Begitu pun ramai yang tabah, yang masih boleh mengheret gitar kapok ke hulu ke hilir, bernyanyi dan menjerit siang malam bila berpeluang, walaupun semasa rakan sedang dirasuk. Sam Angela antaranya, yang berani berseorangan di bilik berbeza walaupun rakan-rakan yang lain duduk berkelompok dan berhimpitan apabila tidur di atas tilam yang dihampar secara berdekatan.

Rakan-rakan dormetri lain yang tidak sekelas dengan kami juga berdepan dengan gangguan-gangguan yang agak serius di waktu malam. Kami terpaksa mandi beramai-ramai kerana tak ramai yang berani masuk bilik mandi berseorangan. Bilik mandi tidak berpintu dan semua orang boleh melihat orang lain yang sedang mandi. Semua mandi berbogel dan istilah malu tidak wujud pada kami masa tu. Ada seorang rakan yang aku sudah lupa namanya tiba-tiba menjerit kuat ketika sedang bersabun. Dia melompat dan bersilat. Suaranya garau serta merta. Beberapa rakan yang juga sedang menunggu giliran untuk mandi menerpa dan menjatuhkan rakan pertama tadi. Malangnya yang cuba menolong juga dirasuk. Bilik air itu riuh rendah dengan jeritan kerana 5 orang rakan-rakan kami itu dirasuk serentak. Salah seorang yang dirasuk itu menjerit supaya kami semua tinggalkan kawasan mereka.

“Ini kawasan aku bodohhhhh!! Keluar!! Keluar!!!” Jerkahnya.

Jenuh juga kami cuba mententeramkan rakan-rakan yang dirasuk dalam keadaan kami yang setengahnya berbogel dan hanya seorang dua bertuala. Kami usung rakan-rakan yang berlima itu ke luar dan beberapa orang di atara kami yang kebetulannya baru selesai bersembahyang magrib membaca ayat-ayat quran dan menghembuskan ke muka mereka. Kami mendengar dengan jelas suara kanak-kanak mengilai dan mengekek di koridor dan hujan yang semakin lebat. Rakan kami itu pulih setelah azan dilaungkan berkali-kali.  

Dalam satu kejadian lain, seorang rakan yang sedang menyidai pakaiannya di koridor ditarik dan dihumban dari tingkat dua  hingga terpelanting ke atas tanah. Kejadian ini juga berlaku di awal maghrib. Beberapa orang rakan yang kebetulannya sedang berborak di koridor melihat rakan itu dihumban. Bunyi dia terjatuh dan menjerit kuat juga, mengejutkan rakan-rakan di dormetri lain. Semua menerpa ke koridor, dan berlari menuruni anak tangga untuk menyelamatkan rakan yang sedang terguling itu. Rakan kami yang dihumban itu tidak cedera pun, malah bangun membuka langkah silat dan menyepak sesiapa yang cuba menghampiri. Seorang dua kena penumbuk tetapi dia akhirnya berjaya ditenteramkan, juga dengan laungan azan.

Dalam satu peristiwa lain, seorang senior yang ditugaskan untuk menjadi sentry dan berkawal di unit penyimpanan peluru (armoury) pada waktu malam melepaskan beberapa tembakan rambang ke arah hutan. Rakannya yang turut berkawal bersama menjerit dan berlari keluar dari situ untuk menyampaikan berita kepada pegawai bertugas. Kami tidak mendengar bunyi tembakan yang dilepaskan tetapi keesokannya kami diberitahu senior kami itu terserempak dengan beberapa orang askar yang berpakaian seperti tentera Jepun dan tidak berkepala. Mungkin kerana diancam, senior kami itu pun memetik picu senjata.

Tiada yang cedera dalam peristiwa ini tetapi senior kami itu juga demam meracau dan dirujuk ke hospital angkatan tentera. Seminggu juga dia admitted dan selepas keluar (discharged), dia juga menjadi pendiam dan sugul, tidak mahu bertegur sapa dengan kawan-kawan, juga menjadi seperti Nirwan.

Dalam satu peristiwa lain, ketika kami sedang bertungkus lumut mengilat boot masing-masing untuk dipakai keesokannya, kami mendengar jeritan dari dormetri laskarwati (perempuan). Dormetri mereka agak jauh dari dormetri lelaki dan kami memang ditegah dan tidak dibenarkan melewati atau berkunjung ke dormetri perempuan ini. Jeritan itu kuat dan jurulatih kami bergegas berlari ke arah dormetri. Jeritan dan pekikan ini bersahutan. Beberapa lagi suara turut menjerit. Dan akhirnya menjadi suara jeritan yang ramai dan membingitkan. Kami melihat dari dormetri kami, beberapa orang laskarwati berlari keluar dari kediaman mereka. Beberapa orang lagi mengejar. Perempuan yang dikejar itu meredah Bukit Kamal yang juga tidak jauh dari kediaman mereka dan menghilang. Jurulatih menjerit memanggil kami untuk membantu. Tergesa-gesa juga kami menuruni anak tangga dan berlari ke asrama laskarwati dan turut meredah hutan kecil di Bukit Kamal. Pencarian itu berlangsung hingga tengah malam, dan laskarwati yang menghilang itu tidak dijumpai, sementara beberapa orang laskarwati lain yang dirasuk menjerit tidak keruan. Ustaz TLDM menjengah dalam kekecohan dan pasir berterbangan dilempar dari arah entah mana mengena muka dan badan ustaz, diiringi ketawa mengekek sinis dari seorang laskarwati yg sedang dirasuk. Ustaz tenang membaca ayat-ayat suci dan keadaan menjadi tenang hampir 2 jam kemudian.

Esoknya, laskarwati yang hilang itu dijumpai terbaring di tepi pantai, di pekan Lumut yang jaraknya kira-kira 3 kilometer dari tempat kejadian. Kejadian ini juga menimbulkan persoalan yang tidak boleh dijawab oleh kami. Ia tinggal misteri.

Saya tutup dulu kisah rekrut kami kali ni. Banyak kejadian lain yang menghantui kami sepanjang 10 hari terawal bergelar rekrut. Saya juga turut diganggu berkali-kali dan sebagai penguat semangat, saya bawa surah Yassin ke mana saja saya pergi, meletakkan surah Yassin itu di atas dada dan hujung kepala ketika tidur tetapi gangguan tetap terjadi juga. Dan saya juga tidak tahu siapa yang saya tendang ketika saya dirasuk. Esoknya rakan saya menjerit, “kau tendang muka aku la weiiii…”

InsyaAllah pada episod akan datang, saya akan ceritakan pengalaman di atas kapal, bermula dengan kapal KD Ganyang dan kemudiannya KD Sri Kelantan. Kedua-dua kapal ini banyak memberikan pengalaman berharga kepada saya, terutama berdepan dengan peristiwa mistik dan misteri semasa bertugas, samada di laut atau di daratan.

Terima kasih kerana memberikan sokongan untuk saya menulis dan mengutip pengalaman.

Keterangan gambar:

Antara rakan-rakan yang bernyanyi siang malam, tanpa takut pada gangguan. Mereka adalah penghibur dan penghilang resah gelisah bila malam menjelma. Baharti, Amir Hamzah Mohd Wazir dan Ibrahim Mat Jadi ada dlm gambar.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SISTEM PEMBUMIAN ELEKTRIK

KAMPUNG Janda Baik pada asalnya mula diteroka dan dibuka oleh tiga orang individu yang datang dari Bentong, Pahang pada 1932 iaitu Haji Yaseh Da’un, Haji Kadir Hitam dan Haji Idris Awang.

Sebagai anak, sudah tentulah kita perlu menghormati orang tua masing-masing sekalipun mereka hanyalah ibu dan bapa angkat kita