BUKIT KAMAL MENJERIT II
BUKIT KAMAL MENJERIT PART II
Maaf ye tuan-tuan, nak sambung sikit kisah Bukit Kamal Menjerit yang mengganggu kami intake 141, rekrut TLDM di KD Pelandok, Lumut sekitar minggu pertama bulan Ogos 1980. Ini adalah sambungan kisah benar Bukit Kamal Menjerit siri I beberapa hari lepas.
Untuk makluman, dalam siri I sebelum ini saya ceritakan mengenai kejadian aneh yang mengganggu kami sebaik saja kami dicukurkan kepala dan hari pertama bergelar rekrut. Ia berlaku di waktu malam sahaja, pada siangnya pula kami berdepan dengan latihan keras rekrut, dan lebih memedihkan ialah ianya berlaku pada bulan puasa. Kami pun heran, bulan puasa pun setan mengganggu. Hadoii..
Malam kedua, selepas berbuka puasa di Galley awal malam, kami berehat dan mengilat kasut (boot yang beratnya sekitar 2kg) untuk latihan esok. Kisah kami diganggu malam tadi menjadi topik perbualan. Ada macam-macam kisah, histeria dan menjerit dengan suara keras dan bunyi yang pelik. Ada beberapa orang rakan kami mula menyusun tilam di atas lantai, dihampar secara berdekatan sebagai persediaan untuk kami tidur secara berhimpitan nanti. Jurulatih yang sarankan supaya tilam kami dihampar begini untuk mengurangkan kemungkinan diganggu lagi. Ada yang borak santai, Sam Angela dah beberapa kali menyanyi memperkenalkan lagu kegemaran kami, Angela. Sedap suara dia, menyanyi sambal petik gitar.
Tepat pukul 10, kedengaran wisel ditiup oleh petugas di bawah mengarahkan semua lampu ditutup. Arahan begini diberikan supaya semua rekrut bersedia untuk tidur awal dan bangun seawal pukul 5 pagi untuk latihan hari kedua esoknya. Semua lampu dipadamkan. Beberapa orang rakan kami mula melabuhkan tubuh di atas tilam, mungkin keletihan berdepan dengan latihan kali pertama pada siang tadi. Dilanyak di bulan puasa memang lembik jadinya tubuh dan otak kami.
Aku pun masih belum tidur, melayan Mat Yus, Dagu, Zaman, Yoyo (semuanya sudah arwah), Raja Kidal dan Haizi berborak dalam kegelapan di sudut tingkap. Hanya beberapa minit sahaja selepas itu tiba-tiba terdengar dengusan yang kuat dari rakan dormetri kami. Kami melompat terkejut diikuti suara pekikan dan laungan yang kuat. Seorang rakan kami menekan suiz lampu untuk mengetahui apa yang berlaku.
Baharti, seorang rakan kami kelihatan berdiri seperti hendak bersilat dan memandang tajam beberapa orang rakan kami yang sedang menghampiri. Dari jarak yang hanya beberapa depa saja, Baharti mendengus, memekik mengeluarkan suara yang aneh dan kasar seperti marah dan bersedia untuk ‘bertempur’ dengan siapa saja yang cuba mendekati.
Kami mengepung Baharti. Seorang rakan sempat menerkam dia dari belakang dan merebahkan dia ke lantai. Beberapa rakan menerpa untuk membantu, termasuk aku. Leher Bahari menjadi kembung dan membesar, matanya merah menyala dan dia meronta dengan sangat gagah sehingga beberapa orang rakan yang menindihnya terpelanting. Aku juga terkena libasan kuat tangan kanannya dan turut terpelanting. Jeritan dan pekikan Baharti dan kekecohan yang berlaku itu menyebabkan ramai lagi rakan kami di dormetri yang berbeza datang menerpa. Beberapa orang cuba membantu. Ada yang mula azan. Baharti masih meronta dan menghumban siapa saja yang cuba menenangkannya. Ada yang terkena tendangan. Sekitar 10 orang menindih Baharti, beberapa orang memegang tangan dan kakinya dan dan ayat-ayat suci dibacakan dan ditiup ke muka.
Dalam masa yang sama, tiba-tiba terdengar pekikan dari rakan kami yang hadir sama untuk melihat keadaan itu. Kami berpaling untuk melihat apa yang berlaku. Nirwan yang memekik tadi tiba-tiba berlari ke koridor sambil terpekik dan suaranya juga bertukar menjadi garau dan kasar. Nirwan sedang dirasuk. Lehernya juga membesar dan membengkak seperti Baharti. Tanpa sempat kami mengambil sebarang tindakan, Nirwan melangkah pagar koridor dan terus melompat terjun dari tingkat 4 ke tanah. Kami nampak Nirwan tergolek jatuh di atas tanah dan dia dengan tangkasnya bangun dan berlari ke arah longkang berhampiran dan terus menghilang.
Kami terbagi kepada 2 kumpulan sekarang. Satu kumpulan sedang memulihkan Baharti yang masih kuat berdengus dan meronta sementara satu kumpulan lain berlari menuruni tangga mengejar Nirwan. Aku kembali ke tempat Baharti, cuba membantu apa yang perlu. Di tingkat bawah kedengaran riuh rendah rakan-rakan kami mula menyusuri longkang mencari Nirwan yang menghilang.
Malam kedua juga kami tidak boleh tidur dengan lena. Baharti kembali pulih beberapa jam kemudian. Suaranya bertukar serak dan keletihan. Setelah sedar, Baharti terpinga-pinga melihat rakan-rakan mengerumuninya. Dia sebenarnya tidak tahu apa yang berlaku. Pencarian Nirwan juga berlangsung sampai subuh, Nirwan tidak dijumpai walaupun kami nampak dalam kegelapan itu Nirwan terjun ke dalam longkang berhampiran.
Jurulatih mengarahkan supaya kami meneruskan pencarian Nirwan sebelah pagi. Pagi itu, ketika bersembahyang subuh, kami pakat-pakat baca alquran dengan harapan supaya Nirwan dijumpai.
Paginya, sekitar pukul 10, kami diberitahu Nirwan dijumpai tidur berselimut dengan nyenyaknya di atas katil dormetrinya tanpa sedikitpun sedar atau tahu apa yang berlaku padanya malam tadi. Huh!!!
Keterangan gambar:
Rakan-rakan kami di Kelas Charlie, Ogos 1980. Semua kami berdepan dengan gangguan makhluk halus ni. Baharti berseluar pendek merah bersila paling kiri sementara Nirwan tidak ada dalam gambar. Ramai antara kami masih ada di merata tempat dalam negara. Doakan supaya kami diberikan kesihatan yang baik diusia tua ini.
Next, Bukit Kamal Menjerit III, kisah rakan kami dilarikan dan dijumpai tidur lena di atas padang kawad dan budak kecil menari di atas kipas yang berpusing.
Ulasan
Catat Ulasan