9. 1977 Suatu Kenangan cikgu seorang pendendam. Tapi cikgu ada cara tersendiri untuk membalas dendam

9.
1977
Suatu Kenangan
.
Cikgu Hanani Daud
.


"Awak seorang jer?" tegur seorang kawan dari kelas baru.
Alhamdulillah, tahun itu aku berjaya menempatkan diri di kelas yang pertama. Bangga benar abah bercerita kepada jiran yang aku naik kelas lagi.
"Saya Syarifah Akmar. Boleh saya jadi kawan awak?" tanya Akmar. Ketika itu aku sedang menggogok air paip.
Subhanallah,
Aku pandang dia atas ke bawah. Cantik benar dia. Bermata hijau, anak Pakistan. Selain memiliki raut wajah yang cantik dan memukau, Akmar juga cucu orang kaya, pemilik panggung wayang di bandar Jerteh.
Rezeki apakah yang Allah sisipkan untukku? Adakah dia didatangkan sebagai pengganti sahabat yang pergi dahulu.
"Mari, saya belanja awak air sirap."
Hatiku sebak tatkala Akmar ke kantin membelikan aku segelas air sirap dan sepiring mi goreng. Aku memandang dia dengan rasa yang keliru. Sekali mi goreng aku suap ke mulut, sekali aku melepaskan pandangan kepada Akmar yang comel dan baik hati itu.
"Lama saya perhatikan awak, selalu sendirian. Saya sedih tengok awak hanya minum air paip saja. Awak tak bawa duit belanja?"
"Ada. Lima sen, sekali sekala abah beri 10 sen saja. Saya simpan esok dapatlah beli mi goreng," jawabku.
Akmar diam. Dia hulurkan salam persahabatan. Janjinya dia akan cuba untuk menjadi kawan baikku.
Perkenalan aku dengan Akmar telah mengubah jalan hidupku. Setiap hari Akmar akan belanja aku makan di kantin. Akmar sisipkan wang untukku 20 sen, paling sikit 10 sen. Walaupun aku tidak mahu menerima namun Akmar meyakinkan aku bahawa datuknya maklum tentang pemberian itu.
Aku sangat bahagia di kelas itu. Walaupun kebanyakan murid di kelas pertama bijak dan dalam kelompok orang berada, mereka tidak pernah sisihkan aku. Mereka menerima seadanya aku.
Di situ aku mula mengenal enaknya air kotak coklat. Selalu aku dapat percuma daripada kawan-kawan. Diam-diam aku simpan air kotak yang diberi untuk dibawa pulang kepada adik-adik. Aku suka melihat adik-adik seronok tatkala menikmati keenakan air coklat itu. Walaupun terpaksa berbahagi sesama tetapi itulah pengerat ikatan kekeluargaan.
Sehingga kini aku faham makna ikatan kekeluargaan kerana kami sangat rapat. Cuma apabila ada seorang dua yang dominan dalam keluarga itu hanya ujian Allah untuk kita. Kadangkala kita tidak boleh ubah dia, kita yang perlu berubah untuk terima dia seadanya.
Aku mula faham, kaya atau miskin bukan ukuran sombong angkuhnya seorang manusia. Sikap itu hanya pilihan. Sisi apa kita, itu adalah pilihan sendiri. Jika kita memilih sisi buruk, buruklah kita. Jika memilih sisi baik, baiklah kita.
Keceriaanku bertambah tahun itu apabila aku dikelompokkan dalam kumpulan target murid cemerlang. Aku masih ingat bagaimana aku selalu dikumpulkan bersama beberapa orang kawan yang lain untuk menjawab soalan-soalan latihan Penilaian Darjah 5.
Alhamdulillah, tahun itu semasa Ujian Penilaian Darjah 5, aku berjaya memperoleh 3A 2B. Walaupun aku gagal untuk mendapat keputusan yang lebih cemerlang namun cukuplah bagi seorang anak miskin yang belajarnya hanya fokus kepada pengajaran guru.
Aku telah membanggakan umi dan abah. Dalam persekitaran kediaman kami, aku diceritakan menjadi anak kampung pertama yang memperoleh 3A.
Cukuplah keputusan itu menjadi penanda aras untuk adik-adik aku tekun belajar serta dapat memotivasikan umi dan abah. Alhamdulillah, hampir semua adik-adik memperoleh cemerlang UPSR dan berpeluang ke SBP.
Aku hanya berpeluang ke sekolah harian biasa. Lebih membuat hatiku pilu apabila terpaksa berpisah dengan kawan-kawan yang memberikan keceriaan kepadaku terutama Akmar.
Sepatutnya semua murid yang belajar di SRTM akan ditempatkan di SMTM tetapi entah di mana silapnya aku ditempatkan di SNS. Hanya aku seorang sahaja yang tersisih ke sana. Berhari-hari aku menangis sehingga akhirnya aku reda menerima takdirku.
Namun kenangan bersama-sama Akmar sentiasa berbalam-balam dalam fikiran. Aku memahami makna ikhlas dalam persahabatan yang dihulur. Walaupun selepas itu Akmar diturunkan kelas, tetapi setiap kali waktu rehat dia akan mencariku untuk hulurkan 10 sen atau 20 sen wang belanja.
"Saya harap suatu hari saya ditemukan dengan dia. Hampir 30 tahun kami terpisah. Saya tidak pernah jumpa dia selepas itu, " ucap saya seusai sesi tazkirah dan motivasi murid UPSR saya tahun itu.
Setiap tahun saya akan ulang cerita yang sama. Saya harapkan ada antara murid-murid saya akan panjangkan kisah itu dan kami akan dipertemukan semula.
Walaupun kisah itu hanya kisah silam, tetapi saya fahamkan anak-anak didik tentang pentingnya ilmu. Lawan kemalasan. Menuntut ilmu itu jihad. Sayang benar jika kita terlepas untuk memiliki pahala jihad dalam hidup kita.
Bukan sukar untuk berjihad di bumi Malaysia. Tidak perlu memikul senjata, hanya belajar sahaja. Untungnya kita. Itulah antara isi tazkirah dan motivasi saya.
Saya juga lahirkan rasa terhadap teman karib di sekolah dulu kepada murid-murid saya.
"Saya rindu akan dia. Ibarat seorang yang kehausan di padang pasir, apabila dihulurkan air kosong, itu sudah terlalu sedap di tekak saya. Sebab air kosong itu telah memberi nyawa kepada saya."
"Tetapi walaupun saya dilayan umpama puteri dengan candle light dinner di hotel mewah itu tidak sama kerana ketika itu saya dilayan untuk membahagiakan saya bukan menghidupkan jiwa saya."
Setiap kali saya bercerita tentang rambut saya yang dipotong pendek tanpa kerelaan saya akan ada murid yang menjerit,
"Cikgu, cerita dongeng rekaan atau cerita betul? Kalau betul jahatnya orang itu."
Jawab saya, "Itu cerita betul tetapi kesudahan apa dia. Jahat atau baik dia itu urusan Allah. Saya tidak mahu bercerita panjang tentang itu kerana fokus saya adalah untuk kamu faham bahawa, nilai miskin bagi sesetengah orang itu tiada harga. Malah ketika itu jika saya ini seekor kucing, mungkin lebih dihargai dan disayangi."
"Saya bercerita untuk kamu ubah diri kamu. Sama ada ibu bapa kisah atau tidak dengan pelajaran kamu itu tidak penting. Apa yang penting kamu belajar atas dua sebab, pertama kerana menuntut ilmu itu jihad. Cari pahala, cari reda Allah. Kedua, belajar untuk cari kemuliaan diri kamu sendiri. Jangan lalu jalan hidup berliku seperti cikgu."
Suatu hari ketika Majlis Temu Murni di sekolah, saya disapa seorang ibu salah seorang murid UPSR saya...
"Cikgu Hanani dulu bersekolah di SRTM bukan? Saya ada seorang kawan yang namanya sama dengan cikgu. Hanani."
Saya pandang dia dengan penuh tanda tanya. Saya lihat mata hijau wanita keturunan Pakistan di depan saya itu. Ketika itu saya terus teringatkan seseorang yang sentiasa di hati saya.
"Aisha balik bercerita tentang apa yang cikgu cerita. Katanya sedih kisah hidup cikgu. Aisha juga beritahu cikgu mencari seorang kawan karibnya semasa di sekolah rendah dulu. Cerita itu sama dengan kisah saya dan Hanani."
Subhanallah.
"Nama cikgu Hanani, sama dengan Hanani semasa di sekolah dulu. Lama saya nak tanya tapi bimbang tersalah orang."
Saya
peluk
dia. Sukarnya apabila pertemuan itu Allah tangguhkan. Walhal anaknya Aisha di depan mata saya. Hampir setiap hari saya berselisih dengan dia di sekolah. Malah setiap malam dia hantar Aisha tuisyen di rumah saya. Hanya selepas Aisha di tahun 6 barulah kami dipertemukan semula.
Tuisyen di rumah saya tidak pernah berbayar. Ibu bapa hanya hantar dan ambil sahaja. Malah hampir setiap tahun, saya mengambil beberapa orang murid yang ada potensi untuk cemerlang tinggal di rumah saya.
Saya pantau kerja sekolah mereka. Saya juga hulur belanja harian mereka namun ramai yang membawang dan memperihal sisi buruk saya. Saya dikatakan gila nama dan gila pujian. Saya kononnya ingin meraih popular di mata ibu bapa.
Walhal saya hanya berdendam dengan masa silam saya. Dendam itu saya balas dengan memberi hati saya sepenuhnya kepada anak didik dan kerjaya guru.
Saya tinggalkan dunia penulisan yang saya pernah sayang. Saya korbankan untuk keluarga dan anak didik saya kerana saya tidak mahu mereka hilang maruah seperti saya seandainya 'mereka dewasa tidak menjadi 'siapa-siapa'.
"Kalau saya gila nama, gila pujian, gila popular dalam kalangan ibu bapa, saya tidak akan korbankan dunia penulisan saya dahulu. Roh saya ada bersama anak-anak didik saya," ujar saya menjawab tomahan rakan guru di sekolah itu.
Jawabnya..
"Ada yang kata, novel awak dulu diterbitkan itu hanya sekadar nasib sahaja."
Saya terkedu dengan jawapan itu. Subhanallah, bukan laluan mudah untuk kita berbuat baik. Walau bagaimanapun isu hanya sekadar nasib itu telah membawa saya kembali untuk mewarnai dunia penulisan yang saya tinggalkan 25 tahun dahulu.
Saya seorang pendendam. Tapi saya ada cara tersendiri untuk membalas dendam. Saya kembali menulis untuk membalas segala tomahan buruk ke atas saya. Institusi pendidikan, anak didik terlalu suci jika diperguna untuk kepentingan individu guru. Mendidik itu mulia. Penyandang gelaran cikgu perlu ikhlas dalam membangunkan modal insan.
Tidak perlu berlumba dalam meraih kepercayaan sekeliling. Orang tak kenang tak apa asal amanah Allah dilaksanakan dengan sempurna.
Insya-Allah semoga konsep penulisan motivasi santai ini diterima ramai. Semoga generasi Y dan Z melihat sesuatu daripada pengalaman kisah hidup dulu-dulu agar mereka berkembang sebagai modal insan yang berakhlak mulia.
Abah dan Umi yang obses dengan ilmu itu sewajarnya dikalungkan dengan setinggi-tinggi kurniaan. Payah dan sukar laluan hidup mereka, namun tujuh orang anak daripada sembilan orang telah berjaya ke menara gading dan menjawat pelbagai jawatan di sektor awam dan swasta. Hanya dua orang sahaja yang pencen sebagai guru lepasan IPG.
Petuanya mudah, hormat guru dan fokus semasa guru mengajar selain peranan ibu bapa yang sentiasa memotivasikan anak-anak dengan penghargaan walaupun sekadar menu 'ikan singgang'...
Subhanallah..
Alhamdulillah atas setiap kurniaan-Nya.
🌹🌹🌹🌹

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SISTEM PEMBUMIAN ELEKTRIK

KAMPUNG Janda Baik pada asalnya mula diteroka dan dibuka oleh tiga orang individu yang datang dari Bentong, Pahang pada 1932 iaitu Haji Yaseh Da’un, Haji Kadir Hitam dan Haji Idris Awang.

Definasi Alatubah