8 1975 Suatu Kenangan. Pelita ayam akan dipadamkan.

 8

1975
Suatu Kenangan.

kredit cikgu Hanani daud
.
.
"Hani dapat nombor 1. Tahniah," beritahu cikgu kelasku diiringi tepukan beberapa orang rakan.
Ramai yang menoleh ke arahku. Aku terpinga-pinga tatkala mendengar namaku disebut. Nombor satu? Betulkah apa yang aku dengar?
Allah telah mendengar doaku. Aku dapat nombor satu, yeah!
Aku terasa ingin menjerit dan melompat keseronokan, tetapi aku malu. Apalah sangat sekadar dapat nombor satu dari kelas ketiga. Bukannya bijak, cuma aku pasti akan naik kelas. Aku tidak mahu duduk di dalam kelas itu lama-lama. Tiada seorang pun yang mesra denganku.

Bagaimana aku boleh dapat nombor satu?
Sedangkan sebelum ini aku hanya dapat nombor berbelas-belas.
Aku sekadar memberi tumpuan semasa guru mengajar. Aku tidak mengulangkaji. Aku juga selalu tiada masa untuk menyiapkan latihan yang diberi oleh cikgu.

Kadangkala apabila buku latihan yang dibeli semasa awal persekolahan habis, aku santai-santai sahaja tidak meminta abah belikan.

Aku tahu jawapannya sama, tiada duit. Jika awal tahun kelengkapan sekolah semua cukup, itu biasanya atas ihsan Mak Da dan Mak Teh. Mereka berdua antara kakak-kakak abah yang banyak membantu.

Aku selalu lihat Mak Da dan Mak Teh menghulurkan duit kepada abah.
Baju raya pula Maksu Yah yang sumbang. Baju raya yang Maksu Yah bagi cantik dan mahal. Apabila Maksu Yah parkir kereta pada penghujung Ramadan lalu aku sudah melompat keseronokan. Aku tahu Maksu Yah akan bawa baru raya.

Malangnya tahun itulah tahun terakhir aku lihat Maksu Yah. Selepas itu aku lihat hanya jenazahnya yang terbujur kaku. Maksu rupa-rupa menderita sakit yang tiada ubatnya ketika itu. Aku tidak tahu dengan jelas sakit apa, cuma ada yang memberitahu Maksu Yah menderita leukimia.

Bagi seorang anak kecil seperti aku, siapa yang memberikan bahagia, kenangan itu akan melekat kuat dalam hati kecilnya. Sebab itulah kenangan Maksu Yah terpahat dalam hati. Al-fatihah buat Maksu Yah. Semoga Maksu berbahagia di sana berada dalam taman-taman syurga.

Aku dipaksa ke sekolah oleh umi abah tetapi tiada belanja dan kelengkapan sekolah yang cukup. Aku pernah dimarah umi kerana minta duit sepuluh sen untuk membeli pensel. Tapi aku tidak salahkan umi. Mungkin hari itu umi benar-benar tidak berduit.

Aku ingat kata-kata abah,
"Pergi sekolah. Beri tumpuan semasa cikgu mengajar. Mata dan fikiran jangan ke lain. Tiada buku atau pensel untuk menulis, tidak mengapa asal beri tumpuan semasa guru mengajar."

Ada beberapa tahun semasa di sekolah rendah, aku dapat buku tulis percuma. Kalau tak salah buku percuma itu daripada kerajaan negeri. Ada juga yang kata pemberian daripada sultan. Aku tidak pasti dengan jelas tentang itu.

Selalunya seusai balik dari sekolah, aku hanya sempat berehat sekejap. Kemudian aku akan mengikut umi ke mana-mana sahaja untuk mengambil upah mengisi keret tembakau, menanam atau membaja tembakau. Hampir Maghrib baru kami pulang.

Seusai makan malam, abah dan umi akan memaksa kami tidur. Pelita ayam akan dipadamkan.
Aku dapat nombor satu? Aku tidak percaya bagaimana pelajaranku meningkat dalam tempoh yang singkat. Aku murid yang selalu ponteng sekolah. Murid bermasalah dengan segala kekurangan.

Aku hanya patuh akan pesanan abah,
"Hormat guru. Beri tumpuan semasa guru mengajar. Jika ada guru yang garang dan Hani tidak suka dia, Hani mesti hormat juga. Akan ada keberkatan Allah buat Hani."

" Allah suruh kita taat guru selepas ibu, ibu, ibu, dan ayah, kita wajib hormat. Jika kita tidak hormat dan taat maknanya kita engkar suruhan Allah. Kita tidak taat pada Allah. Yang penting patuh suruhan Allah, hal-hal lain serah sahaja urusannya pada Allah."

"Abah tiada wang untuk memberi kemudahan belajar seperti orang lain, tetapi abah ada ikhtiar dengan doa meminta dengan Allah semoga anak-anak abah bijak belajar," kata abah.

Setiap hari sebelum kami melangkah ke sekolah, aku akan diberi segelas air kosong. Air itu mungkin air doa seusai abah solat memohon pertolongan Allah agar fikiran kami dilapangkan untuk menerima ilmu yang diajar oleh guru.

Mungkin itulah yang membuat aku mudah faham. Selain itu aku agak bijak dalam meneka lojik sesuatu jawapan. Aku masih ingat semasa di tahun satu dahulu. Aku hanya bijak membaca dengan meneka gambar.
Ini ayam.
Ini ayam jantan
Ayam jantan ini cantik
Ini rumah
Ini rumah batu
Rumah batu ini besar.
Itu sahaja ikhtiar dan helahku agar tidak dimarah cikgu dan didenda berdiri atas kerusi. Dendaan cikgu dulu-dulu walaupun sangat perit tetapi boleh buat aku tersenyum apabila mengingatinya.

Bermula dengan berdiri, naik setingkat ke atas ke kerusi, jika salah lagi naik lagi setingkat ke atas meja. Salah lagi turun ke bawah, junjung kerusi.

Namun gelaran cikgu cukup dihormati oleh ibu bapa. Apabila musim buah-buahan aku lihat jiran-jiranku yang bekerja sebagai guru mewah dengan buah-buah, tidak berbeli. Semua hadiah daripada ibu bapa.

Seperit apa dendaan cikgu, jangan sesekali mengadu kepada umi dan abah, aku pula yang akan dimarahi mereka.

Kata mereka guru itu kerjaya mulia. Wajar dihormati. Meski apa mereka itu urusan mereka dengan Allah. Ikhlas mendidik itu serahkan kepada Allah, hak kita sebagai murid, hormat guru kerana melaluinya kita tahu sejauh mana kita patuh akan suruh Allah.

Allah yang Maha Benar itu jangan pertikaikan, patuh sahaja suruhan-Nya.

Aku masih ingat suatu hari istana kecil kami dikunjungi seorang Imam Masjid Negara. Kata abah, beliau ada hubungan kekeluargaan dengan kami. Seusai beliau meninggalkan pekarangan istana kecil kami, abah mengajak semua anak berkumpul.

Abah mengagihkan lebihan air minuman yang diteguk oleh imam itu untuk kami. Abah jelaskan kepada kami bahawa memuliakan ilmuan Islam itu suruhan Allah. Terselindung rahmat dan keberkatan Allah di situ. Wallahu'alam.

Hari itu seusai loceng pulang berbunyi aku berlari pantas. Aku ingin segera memberitahu abah tentang berita gembira itu. Aku dapat nombor satu. Aku akan naik kelas. Aku akan hadiahi abah nombor 1.

"Abah, saya dapat nombor 1," laungku dengan termengah-mengah. Aku berasa ingin campak beg kotak supaya aku boleh cepat sampai jumpa abah.

"Saya dapat nombor satu,"ulang saya lagi.
Abah yang sedang mengasah mata gergaji ketika itu, terlihat sangat gembira. Abah mengangkatku dan menjulang aku tinggi-tinggi. Aku terasa gayat apabila dijulang berkali-kali oleh abah yang agak tinggi dan sasa badannya itu.

Abah tidak bertangguh lama. Abah terus mengejar ayam kampung untuk dimasak gulai sebagai hadiah atas kejayaan aku. Abah yang hanya berpelikat lusuh di paras lutut sekali sekala tertongeng-tongeng dipedayakan oleh ayam kampung yang liar.

Aku tidak pasti sama ada abah sengaja beraksi sedemikian untuk membuat aku gembira tetapi yang jelas aku berasa sangat dihargai. Motivasiku untuk belajar semakin memuncak.

Pada sebelah petang pula abah letak aku di atas bahunya. Abah suruh aku pegang kepalanya kuat-kuat kerana abah akan bawa aku berlari-lari anak keliling rumah sebanyak 7 keliling. Itu janji abah dulu.

Kata abah, " Kalau Hani dapat nombor 1 abah akan junjung Hani dan keliling rumah 7 kali keliling."
Kecut perut aku tatkala aku diangkat ke bahu abah. Aku yang rasa terjulang tinggi ketawa terkekeh-kekeh dengan momen indah yang abah lakukan untuk aku. Abah berpusing-pusing sambil menyanyi lagu Jepun. Aku selalu dengar abah nyanyikan lagu itu.

Kenangan itu sentiasa segar dalam minda aku. Aku bertuah kerana mempunyai seorang abah yang sangat menghargai.

Seorang abah dan umi yang tidak perlu kaya untuk menghargai anak-anak. Cukup dengan apa yang ada yang penting membuat anak itu rasa usahanya dihargai.

Sebelumnya aku ke sekolah tiada matlamat. Jika ada kawan yang ke sekolah untuk bermain bersama kawan-kawan, tetapi aku hanya sendirian selepas Haslina berpindah.

Jika ada yang ke sekolah kerana ingin berbelanja tetapi aku hanya diberi lima sen sahaja. Hanya sekali sekala sahaja sepuluh sen untuk aku menikmati keenakan mi goreng di kantin sekolah.

Namun penghargaan yang aku dapat daripada seorang abah telah mematangkan aku makna sekolah. Aku tidak perlu kawan, aku juga tidak perlu makanan yang sedap di kantin. Seusai loceng rehat dibunyikan aku akan berkejar ke Khutub Khanah Sekolah.

Aku asah kemahiran membaca yang jauh tertinggal oleh sikap aku yang suka ponteng sekolah. Hampir setiap hari aku akan bertukar pinjam buku yang baru.

Siri Salma, Hardy Boys, 5 Sekawan, Nancy Drew dan beberapa siri penyiasatan telah menjadi kegilaan aku. Bermula daripada buku-buku cerita yang ringan itulah aku menanam minat membaca dan cinta akan ilmu.

Umi abah ialah ibu bapa yang
hebat
. Mereka tidak pernah menetapkan genre buku yang perlu aku baca asalkan sesuai dengan peringkat usia. Agaknya kalau aku hanya dipaksa untuk membaca buku-buku sekolah atau genre yang berat, mogok lagilah aku.

Minat membaca itu telah membuat mindaku mencapah. Aku mula berani untuk menjawab soalan guru. Aku juga semakin ke depan. Alhamdulillah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SISTEM PEMBUMIAN ELEKTRIK

KAMPUNG Janda Baik pada asalnya mula diteroka dan dibuka oleh tiga orang individu yang datang dari Bentong, Pahang pada 1932 iaitu Haji Yaseh Da’un, Haji Kadir Hitam dan Haji Idris Awang.

Definasi Alatubah