7 "Awak buat apa?" sapa seorang kawan.

 7.

1975
Suatu Kenangan
.
"Awak buat apa?" sapa seorang kawan.
Aku mendongakkan kepala melihat siapa? Haslina (bukan nama sebenar) melabuhkan punggungnya di sebelahku. Aku terkejut dengan sapaan dia. Dia orang pertama yang menyapa aku dan ajak berbual.
Sebelum ini tiada sesiapa yang kisah akan adanya aku di kelas itu. Aku hanya sendirian memerhati kawan-kawan galak bermain. Menghampiri mereka aku takut.
Aku ingat kata-kata abah, "Bersendirian lebih baik jika kawan itu menyakitkan."
Aku mencium bau diri, tidak busukkah aku hari itu sehingga membolehkan Haslina datang rapat di sisiku. Sebelumnya jika aku menghampiri sesiapa, terlihat mimik muka yang kurang senang. Malah ada yang meminta aku pergi jauh dari mereka.
"Badan awak bau busuk."
Tersengih-sengih aku sambil menarik diri perlahan-lahan tatkala kata-kata itu dilemparkan kepadaku.
Aku akui ada ketika aku mandi tidak bersabun. Keret telaga dan timba besi menyaksikan kami selalu kehabisan sabun mandi. Sabun mandi bukan satu keutamaan dan keperluan ketika itu. Aku pula bukan seorang anak yang banyak meminta. Jika ada-adalah.
Mungkin bagi orang lain sekadar harga sepuluh sen atau dua puluh sen apalah sangat. Tetapi bagi kami yang kadangkala membawa mangkuk kecil menagih beras di rumah jiran nilai itu terlalu bermakna.
Sebab itu setiap kali abah bawa balik seketul sabun popinjey aku akan melonjak keseronokan. Bau sabunnya sangat wangi. Acap kali aku akan mandi hari itu untuk menikmati wanginya sabun popinjey.
Begitu juga ubat gigi. Jika kehabisan ubat gigi, aku hanya gonyoh gigiku dengan arang yang ditumbuk halus jadi serbuk.
Itulah yang menyebabkan aku lebih selesa sendirian. Aku tidak mahu adanya aku mengganggu ketenangan orang. Lebih baik aku dengan dunia aku.
Aku lebih selesa mengejar belalang dan pepatung di padang. Belalang dan pepatung yang terbang melompat-lompat dari rumput ke rumput itulah yang menjadi rakan sepermainan tatkala kawan-kawan ralit bercerita tentang Bee Gees, ABBA atau The Beatles.
Aku tidak tahu tentang itu. Rumahku tiada radio apatah lagi televisyen. Itu bukan keperluan sebaliknya barang mewah ketika itu.
Aku lebih suka berlari-larian di padang. Aku tangkap belalang kemudian kemuncup aku cabut. Aku hulurkan umbut kemuncup yang lembut ke mulut belalang. Aku seronok melihat mulutnya mengunyah umbut kemuncup. Apabila kemuncup yang disuakan ke mulut tidak lagi dikunyah, aku fikir belalang itu sudah kenyang, lantas aku lepaskan semula.
Kadangkala aku kejar pepatung. Menangkap pepatung agak sukar berbanding belalang. Selalunya pepatung akan lesap begitu sahaja. Jika pepatung itu dapat aku tangkap, berganda-ganda keseronokan aku. Tersengih-sengih sendirian aku seumpama kerang busuk tatkala pepatung itu mengerit-ngerit labu jejari halusku.
Hari ini apabila aku disapa Haslina, aku berasa amat aneh. Aku segera meletakkan kenangan itu dalam kotak memori yang akan aku ingat sampai bila-bila.
"Saya ada hadiah untuk awak. Cantik tak?"
Aku terkejut dengan apa yang dihulurkan. Satu pengikat rambut seperti rambut yang dijalin dihulurkan. Sangat cantik. Aku tersengih-sengih membelek pengikat itu .Sayang sekali aku tidak dapat pakai pengikat itu kerana rambutku sudah pendek.
"Nanti apabila rambut awak panjang, awak pakailah pengikat ni," katanya lagi.
Aku teragak-agak untuk mengambil hadiah itu. Aku ingat pesan umi jangan ambil barang orang. Jika terjumpa sesuatu di tengah jalan, jangan diambil. Barang itu bukan hak kita. Perlu dipulangkan ke tempat asal.
Aku masih ingat suatu hari dalam perjalanan pulang aku terjumpa sebilah pisau kecil yang sudah berkarat. Aku ambil dan bawa pulang. Teruk aku dimarah umi. Sudahnya aku terpaksa berjalan kaki sejauh 1km, hanya untuk memulangkan pisau karat itu ditempat asal.
Menurut umi abah, jika kita mengambil yang bukan hak, semua akan jadi gelap. Ilmu yang kita belajar susah untuk difaham. Akhlak juga akan jadi teruk kerana Allah tidak akan pegang jiwa kita lagi.
Suatu hari aku terjumpa duit 20sen dijalanan. Aku ambil duit itu dan beli asam boi. Ketika aku makan asam boi, umi minta sebiji. Selepas umi masukkan ke mulut, umi tanya di mana aku dapat duit untuk beli asam boi? Aku jawab jumpa dijalanan. Umi luahkan semula asam boi yang ada dalam mulutnya tanpa berkata apa-apa.
Pada sebelah malam, aku terdengar perbualan umi dan abah.
"Saya teringin asam boi yang Hani makan tadi. Tapi bila dia beritahu asam boi dibeli dengan duit yang dia jumpa, saya luahkan semula. Saya tak mahu anak kita lahir dengan perangai yang tidak elok walaupun orang kata duit yang kanak-kanak jumpa tak apa. Rezeki mereka."
Perbualan itu memberi satu pengajaran yang bermakna. Membuat aku sentiasa berhati-hati apabila berkait dengan rezeki.
Tetapi kali ini ada kawan yang memberikan aku hadiah. Aku sukar untuk menolaknya.
Aku suka dengan hadiah pengikat rambut yang dijalin cantik itu. Bagi aku itu ialah hadiah yang paling bermakna. Tambahan pula itu ialah hadiah pertama aku. Namun aku perlu beritahu umi terlebih dahulu.
"Ada kawan nak bagi hadiah, bolehkah saya ambil?" tanyaku pada umi petang itu.
"Mana hadiahnya?"
"Saya suruh dia simpan dahulu. Kalau umi izin baru saya ambil," kataku.
Alhamdulillah, mungkin pengikat rambut itu ditakdirkan untukku. Satu hadiah yang telah berjaya mengubat luka di hatiku. Umi mudah saja mengizinkan walaupun sebelum ini agak sukar.
Sejak hari itu, aku dan Haslina berkawan baik. Dia banyak membantu aku, menunjuk ajar apa sahaja tentang pelajaran yang aku tidak faham. Aku benar-benar berubah. Aku tidak lagi ponteng sekolah. Impian aku untuk dapat nombor satu dalam peperiksaan akhir tahun. Aku mahu naik darjah.
Semangatku memuncak. Sehingga suatu hari Haslina memberitahu aku,
"Minggu depan saya akan pindah sekolah. Saya akan pergi jauh dari sini untuk ikut ayah yang berpindah."
Aku sekadar diam dengan mata yang terpaku tidak berkelip. Hati aku luluh. Walaupun aku tidak dapat melahirkan perasaan tetapi aku mula faham makna perpisahan. Aku akan kehilangan dia.
Mengapakah aku perlu kehilangan dia? Siapakah lagi yang ingin berkawan dengan aku selepas ini?
Sedihnya aku ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu. Dia satu-satunya yang sudi mendekati aku dan berkawan denganku.
Setiap kali waktu rehat dia akan ajak aku bermain kejar-kejar bersama.
Aku mula kenal apa itu mainan patung-patung. Berlarian keliling padang, apabila dicuit, terus mengeraskan diri. Melalui dia aku kenal makna keceriaan seorang kanak-kanak.
Dia memberikan keceriaan dalam hidupku. Mengapa dia harus pergi?
Pengikat rambut yang dihadiahkan olehnya menjadi temanku selepas itu. Ke mana-mana pergi aku bawa bersama. Aku tidak dapat mengikat di rambut, pengikat itu aku ikat di tangan. Aku jadikan pengubat rindu pada dia.
Suatu hari seusai bermain di padang, pengikat rambut itu tercicir. Aku menangis hingga meleleh-leleh air mata dan air hidung. Aku hilang kekuatan aku. Pengikat rambut hadiah Haslina itu memberi aku makna persahabatan.
Akhirnya cikgu yang tidak tahan melihat deraian air mataku membenarkan aku cari pengikat rambut yang hilang itu. Alhamdulillah, setelah jenuh berpusing keliling, aku jumpa pengikat itu. Aku cium berkali-kali. Aku ketawa keseorangan sambil mengikat tali pengikat rambut itu di tangan.
Tanpa Haslina, aku kembali kepada duniaku yang dulu. Sendirian lagi. Tetapi kali ini aku lebih bijak. Aku sudah pandai berdikari setelah selalu mengikut kakak sulungku, Kak Long mengutip botol-botol kosong di rumah jiran.
Aku semakin berani dan berkeyakinan tinggi. Jika Kak Long mula sibuk dengan belajar aku akan bersendirian ke belakang rumah jiran sekampung. Aku selongkar tempat pembuangan sampah mereka.
Aku cari botol-botol kaca yang dibuang. Aku kutip botol-botol itu. Celoreng mukaku dengan jelaga, aku tidak pernah kisah. Aku tiada masa untuk fikir tentang cantik atau hodohnya aku. Aku hanya mahu sesen dua yang boleh dibuat belanja sekolah.
Ada jiran yang baik hati, botol kosong itu di simpan dan diberikan padaku. Aku akan melonjak gembira. Selepas botol-botol itu dijual aku boleh membeli nasi atau mi goreng di kantin sekolah.
Aku tidak lagi malu dan takut-takut seperti dulu. Dunia kanak-kanakku kembali ceria.
Dalam merentasi zaman kanak-kanak, aku lebih suka bermain dengan kawan-kawan lelaki. Aku lebih tenang kerana mereka menghargai dan menerima seadanya aku. Aku tidak pernah dibuli perasaan oleh mereka. Aku tidak dicemburui apabila dipuji cantik.
Akulah seorang kanak-kanak perempuan yang terkedek-kedek mengekor di belakang, menangguk anak-anak berudu dan di simpan dalam botol.
Menangguk anak-anak sepilai juga sebahagian daripada dunia kanak-kanakku. Alur mana yang tidak pernah aku jejak. Semua aku jejak untuk melayan kegilaanku terhadap sepilai yang berwarna-warni. Jika hari itu aku gagal menghambat sepilai, lintah yang berenang berliang-liuk akan menjadi mangsaku.
Aku raut ranting gelam yang besarnya sederhana. Hujung ranting aku tarah menjadi taji. Lintah yang berenang berliang-liuk itu aku taji beberapa ekor. Kemudian aku susun lintah pada kayu gelam. Lintah itu aku layur dengan api. Aku ketawa terkekeh-kekeh melihat lintah bergeleding kepanasan.
Hurm!
Siapa sangka gadis cilik berperwatakan lemah -lembut itu boleh berhati kering?
Namun momen indah itu hanya berlaku pada musim tengkujuh kerana ketika itu aku tiada kerja yang boleh dibuat. Hari-hari yang lain aku hanya mengikut umi abah membuat pelbagai kerja untuk membantu mencari sesen dua untuk meneruskan hidup.
Kenakalanku sebagai anak kampung menceriakan dunia kanak-kanakku. Bermandi hujan dan rakit buluh, tahu sahaja apabila pulang ke rumah, umi sudah menunggu dengan ranting kemunting atau lidi tujuh batang.
Aku dengan celoreng sana-sini dan baju comot- momot bermuka selamba, menghampiri umi dan menyerah diri.
...... bersambung

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SISTEM PEMBUMIAN ELEKTRIK

KAMPUNG Janda Baik pada asalnya mula diteroka dan dibuka oleh tiga orang individu yang datang dari Bentong, Pahang pada 1932 iaitu Haji Yaseh Da’un, Haji Kadir Hitam dan Haji Idris Awang.

Definasi Alatubah