4 Susah sangatkah nak pergi sekolah? Aku dah hilang sabar dah dengan kamu

 4.

1975
Suatu Kenangan
.

"Susah sangatkah nak pergi sekolah? Aku dah hilang sabar dah dengan kamu," jerit umi dengan tujuh batang lidi di tangan. Sesekali lidi itu dilibas ke betis, aku akan menjerit melolong. Aduh, sakitnya!
Hanya yang pernah rasa saja yang tahu bagaimana sakitnya libasan tujuh batang lidi yang diikat. Apabila hinggap dibetis akan meninggalkan kesan bergaris tujuh.
Aku rasa akan sakitnya tetapi aku tetap terpaku di situ. Aku biarkan umi melepaskan geramnya. Sekali lidi tujuh batang itu dilibas, sekali aku meloncat-loncat dan meraung kesakitan.
"Pergi sekolah... aku kata pergi sekolah kenapa degil? Kamu nak jadi apa kalau tidak sekolah? Kamu nak hidup miskin macam apa yang kita lalui sekarang?" tengking umi. Umi terus melepaskan kemarahan.
Aku tahu umi banyak masalah. Aku nampak wajah umi yang berserabut. Wajah umi ada garis tua yang belum masanya.
Aku pula penambah masalah. Aku kasihan pada umi, tapi hatiku tidak kuat untuk berhadapan pelbagai pertanyaan yang dituju kepadaku di sekolah. Kadangkala aku didenda berdiri sehingga habis kelas. Kadangkala tanganku bergaris merah dek libasan rotan.
Aku tidak kisah akan dendaan tetapi aku kisah akan apa yang perlu aku jawab. Aku peduli akan mimik muka dan kata-kata sindiran tentang aku anak miskin.
Ramai sahaja yang tidak bersekolah pada masa itu. Lebih baik berhenti sekolah sahaja daripada menyusahkan orang, aku juga disumbat dengan kata-kata itu.
"Buat apa engkau sekolahkan anak-anak kau 'Od. Engkau nak makan pun susah. Lebih baik engkau ajar anak-anak cari rezeki, baru senang sikit hidup kau."
Aku pernah dengar orang berkata begitu pada abah, tetapi abah tetap dengan nekadnya...
"Aku miskin. Aku tak ada apa-apa yang boleh mewariskan kepada anak-anak. Aku nak anak-anak aku bijak, berilmu. Aku tidak mahu anak-anak mewarisi kemiskinan aku," jawab abah sambil menukul papan ke dinding ketika kata-kata itu diajukan.
"Anak perempuan 'Od. Kalau tak sekolah pun tak apa. Sampai masa akan dibawa suami pergi,"katanya lagi.
Abah akan memberikan jawapan yang sama. Hanya ilmu yang boleh mengubah hidup keluarga. Abah mahu hidup anak-anaknya senang dan bahagia.
Hampir setiap hari abah akan tanamkan impiannya dalam fikiran aku.
"Hani perlu belajar bersungguh-sungguh. Apabila besar, Hani boleh duduk rumah besar, boleh pakai kereta besar."
Namun degilnya aku. Aku tidak mahu sekolah. Aku tidak mahu susahkan umi abah. Sekolah banyak belanja sedangkan kami nak makan pun susah.
"Acap kali aku kata, hanya dengan belajar saja boleh buat kita senang. Aku tidak mahu kamu hidup susah seperti aku sekarang," marah umi lagi
Umi memang naik hantu. Tiada lagi 'umi 'yang keluar daripada mulutnya. Aku! Aku! Itulah yang keluar daripada mulut umi menerjah gegendang telingaku.
Hari itu aku benar-benar dibalun umi, dengan suara umi yang sekejap tegang sekejap sebak. Umi tidak lagi beri peluang untuk aku berhenti lelah.
"Bagaimana lagi nak suruh kamu faham? Nampaknya kamu nak aku rentik sarang kerengga baru boleh faham? Setiap hari selalu buat aku naik darah. Mari sini...mari sini..."
Umi tarik kedua-dua belah tanganku. Aku cuba tahan dengan kedua-dua kaki. Aku juga meronta-ronta dengan sepenuh tenagaku, sambil melolong minta dilepaskan. Tetapi tenagaku tidak sekuat umi.
Aku dibawa umi ke sebatang pokok yang sudah mati, menunggu rebahnya sahaja. Walaupun begitu akar dan duduknya masih tegap dan utuh.
Umi mengepit aku dengan kedua-dua lututnya sementara meluruskan tali pengikat kambing untuk mengikatku. Akhirnya umi menang dalam melawan rontaanku. Aku berjaya diikat oleh umi di batang pokok itu .
Umi terlihat garang di mataku. Aku meraung meminta dilepaskan daripada tertambat di situ.
Umi minta aku berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan ponteng sekolah, tetapi aku tidak dapat berkata, ya. Umi yang sudah kehilangan punca meninggalkan aku sendirian.
Malangnya seketika kemudian umi kembali dengan sesuatu di tangannya.
Sarang kerengga!
Ditinggalkan sendirian sudah membuat hatiku kecut, apatah lagi tatkala melihat sarang kerengga yang diacah-acah oleh umi.
"Cakap, nak pergi sekolah atau tidak? Janji dengan aku," jerit umi.
Aku hanya menjerit melolong tetapi masih tidak dapat berkata, ya!
Akhirnya aku direntik sarang kerengga oleh umi. Satu momen ngilu yang ditancap oleh umi telah membuat aku berubah seluruhnya.
Janjiku untuk berubah kali itu benar-benar telah membuat aku berubah. Aku mula sedar bahawa aku tiada pilihan. Aku perlu ke sekolah. Belajar bersungguh-sungguh kerana itulah yang akan membahagiakan umi dan abah.
Agak lama juga aku terikat ditiang itu sehingga abah pulang dan melepaskan ikatan. Abah memandikan dan membersihkan aku.
"Cuba beritahu abah, mengapa kamu tidak mahu pergi sekolah?" tanya abah lembut.
Dengan sedu-sedan sambil menyuap nasi, aku mula bercerita pada abah.
"Cikgu minta saya tukar kasut baru. Kasut tu sudah nampak jari kaki. Cikgu juga minta yuran sekolah. Saya seorang saja yang belum bayar yuran," cerita aku dengan sedu sedan.
Aku bukan sahaja menggigil lapar ketika itu, tapi aku juga menggigil takut akan umi. Umi hanya diam tanpa menoleh ke arahku. Aku tahu umi marah. Aku tahu umi sudah habis ikhtiar untuk membuat aku faham tentang pentingnya ilmu untuk aku.
Aku agak degil, melawan kehendak umi. Aku degil kerana ketika itu aku belum faham akan makna kehidupan. Namun kedegilan aku selalunya runtuh tatkala melawan kedegilan umi. Apabila umi berkata A, tidak akan berubah menjadi B. Itulah cara umi membangunkan jati diri dalam diriku.
Setiap hari menapak ke sekolah dengan berbekal 5 sen sehari. Belanja sekolah hanya cukup untuk sebatang keropok lekor. Air pembasah tekak pula hanya air sinki. Melihat kawan-kawan yang meneguk air sirap merah, aku hanya sekadar menelan liur.
Sarapanku sebelum ke sekolah pula selalunya hanya jemput-jemput yang dicatu sebiji atau dua biji seorang. Acap kali juga kakiku menggigil lapar, kemudian tertidur di bawah pokok tembusu di pertengahan jalan.
Bagi aku sekolah hanya satu penyiksaan. Tambahan pula aku perlu berhadapan dengan cikgu yang setiap hari bertanya tentang yuran sekolah. Aku juga malu dengan seragam sekolah yang buruk. Bersama-sama dengan rakan sekelas yang serba ada membuatkan aku berasa sangat rendah diri.
SRTM atau Sekolah Rendah Tengku Mahmud ialah sebuah sekolah
terbaik
daerah dari segi pencapaiannya. Umi abah mahu anak-anak berjaya dan cemerlang. Bagi mereka hanya dengan belajar di situ peluang untuk cemerlang itu akan lebih cerah.
Kebanyakan murid di sekolah SRTM, datang dari golongan orang berada. Aku pula hanya anak seorang tukang kayu yang miskin. Aku rasa tersisih. Selalu keseorangan. Kerap kali juga diejek oleh kawan-kawan yang nakal yang katanya aku tidak layak untuk bersekolah di situ.
"Tukar sekolahlah. Sekolah ini tempat anak-anak orang kaya, tetapi kamu anak orang miskin."
Kata-kata itu hampir setiap hari dituturkan oleh seorang rakan lelaki sekelas. Setiap hari juga dia bertanya bila aku akan bertukar sekolah. Aku hanya mampu mendiamkan diri.
"Esok pergi sekolah ya! Jangan ponteng lagi. Janji dengan abah. Esok abah akan bayar yuran. Abah juga akan belikan Hani kasut baru. Abah sudah dapat wang gaji," pujuk abah.
Tangisanku terhenti. Aku menganggukkan kepala menunjukkan ikrar yang aku tidak akan ponteng lagi. Abah menggosokkan kepalaku lembut, dan aku tenang dalam kasih sayang abah yang melimpah.
Aku tahu abah tiada duit untuk membayar yuran sekolah tetapi hari itu hatiku tenang.
Keesokan harinya aku ke sekolah. Sesekali aku mengintai di sebalik cermin nako yang terbuka. Adakah abah akan menunaikan janjinya untuk datang ke sekolah dan menjelaskan yuran?
Aku dididik oleh umi dan abah agar tidak bercakap bohong. Aku pasti kali ini abah tidak akan berbohong. Abah akan datang tunaikan janjinya.
Pagi itu apabila ditanya oleh cikgu bila aku boleh menjelaskan yuran sekolah, aku dengan yakin beritahu yang abah akan datang untuk jelaskan.
"Janji awak lepas esok, esok. Bukannya boleh pakai," kata cikgu yang kerap kali membuat aku tertunduk malu.
Hatiku lega tatkala melihat kelibat abah sedang berbual dengan Guru Besar, Mr. Kam di koridor pada masa rehat. Aku berlari dengan riang untuk bertanya abah.
"Abah sudah bayar yuran sekolah saya?"
Abah teragak-agak untuk menjawab tetapi pertanyaanku dijawab oleh Mr.Kam dengan sangat suara yang sangat lembut.
"Abah kamu sudah bayar. Nanti belajar rajin-rajin supaya dapat nombor satu. Hani seorang murid yang bijak. Saya percaya Hani boleh."
Aku tersenyum lega dengan jawapan Mr. Kam. Aku merapati abah. Tangan besi abah yang sarat dengan kesukaran memaut bahuku mesra. Aku nekad dan berjanji untuk kesekian kalinya aku tidak akan ponteng lagi.
Antara kata-kata abah yang memasang tekad dalam hatiku ...
"Pergilah sekolah. Belajar. Jika tiada orang yang ingin berkawan tidak mengapa. Kita tidak perlu kawan jika kawan itu menyakitkan. Apa yang penting belajar rajin-rajin kerana ilmulah yang akan mengubah hidup kita."
.... bersambung.
.
.
# Mr.Kam Kamarudin seorang mualaf dan seorang Guru Besar yang sangat
hebat
. Selepas kejadian itu untuk tahun-tahun yang seterusnya saya tidak lagi ditanya tentang yuran sekolah. Saya dapat belajar dengan selesa.
Mohon dipanjatkan doa semoga Mr. Kam terus dilimpahi rahmat dan keberkatan oleh Allah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SISTEM PEMBUMIAN ELEKTRIK

KAMPUNG Janda Baik pada asalnya mula diteroka dan dibuka oleh tiga orang individu yang datang dari Bentong, Pahang pada 1932 iaitu Haji Yaseh Da’un, Haji Kadir Hitam dan Haji Idris Awang.

Definasi Alatubah