15 Suatu kenangan 1990 Saya ingin jadi guru sekolah rendah. Saya nampak sesuatu di situ,"

15
1990
Suatu Kenangan
.Cikgu Hanani Daud

.
"Awak nak jumpa siapa?" Tiba-tiba seseorang muncul dan bertanya.

"Pengarah."

"Pengarah tiada, tak tahu bila balik. Tetapi boleh saja berurusan dengan saya. Sama sahaja. Saya timbalan,"perkenal dirinya dengan ramah.

Alhamdulillah, lega. Allah memudahkan urusanku. Ketika itu aku benar-benar nekad. Aku akan selesaikan kekeliruan. Diterima atau tidak bukan lagi keutamaan. Aku masih muda, banyak cabang rezeki yang aku boleh cari. Cuma hadirku untuk membongkar kezaliman.

"Jika saya ada kelayakan untuk diletakkan dalam senarai menunggu, mengapa hak saya dinafikan? Mengapa permohonan saya perlu dibuang ke dalam tong sampah?"

Timbalan, membelek-belek sijil-sijil yang aku sertakan.

"Allahuakbar, sijil STPM awak usahkan layak untuk lantikan GSTT, ke universiti juga layak. Mengapa tak mohon universiti?"

"Saya ingin jadi guru sekolah rendah. Saya nampak sesuatu di situ," kataku.

Timbalan menganggukkan kepala. Dia faham dan menghormati pilihanku. Semua kemusykilan yang ditanya aku menjawab, tenang. Sesekali dia menggeleng-gelengkan kepala.

"Inilah yang sedihnya bangsa kita, sanggup melemahkan bangsa sendiri. Awak lebih daripada layak untuk menjadi guru GSTT."

Timbalan menekan butang di telefon.

"Boleh beritahu syarat minimum untuk lantikan GSTT. Pangkat 2, empat kredit? Kalau lima kredit tentu lebih layak bukan? Jika ada STPM? Itu bonus..."

"Saya mahu awak buat surat lantikkan GSTT kepada pembawa memo daripada saya. Keluarkan surat lantikkan itu sekarang juga."

Alhamdulillah, aku menarik nafas syukur.

Kertas memo dikeluarkan. Arahan yang tertulis, 'Lantikkan segera, GSTT. Tempatkan di mana-mana sekolah dalam daerah Besut.'

"Bawa memo ini ke tingkat bawah. Pegawai di sana akan buat surat. Kemudian surat arahan lantikkan itu awak serahkan kepada PPD untuk PPD tentukan sekolah."

Sungguh rezeki itu Allah. Kita hanya menguruskan sahaja. Allah permudahkan segalanya untuk aku hari itu.

Tatkala aku melangkah ke bilik itu, pegawai yang menyatakan dia ada kuasa membuang permohonan aku ke dalam tong sampah telah sedia menanti. Dia bukakan pintu untuk aku dan segerakan urusan surat.

"Saya kagum dengan awak. Sekurang-kurangnya awak mewakili ramai orang yang senasib dengan awak," bisik seorang pegawai di telingaku

Alhamdulillah. 

Tatkala aku melangkah ke pekarangan PPD, aku lihat beberapa orang pekerja bawahan termasuk tukang kebun berkumpul, bergosip sesuatu. 

"Awak nak jumpa PPD? Awakkah yang buat onar di JPN?"

"Onar apa? Saya hanya pergi sana untuk mohon GSTT, itu saja."

"Nampak sopan, baik. Tapi sanggup awak ke sana memburukkan PPD. Kalau dah tak dapat jadi cikgu duk diam-diam. Yang pergi jumpa pengarah tu kenapa?"

"Sebab saya layak."

"Kalau awak layak sekali pun, siapa yang PPD nak lantik itu hak dia.."

"Hok aloh, nya kube lana abis ko dio. Napok ko tue tu lembuk jah," sampuk seseorang di sebelah. (Dialek tempatan )

Marah betul. Aku terus melangkah ke pejabat untuk serahkan surat dan memo daripada Timbalan. Aku dengar suara- suara yang semakin lantang, tetapi aku terus melangkah, tidak sedikit pun gentar .

Hanya dalam hati aku berkata,"Apakah yang membuat hati mereka berbahang? Cepat benar kisah di bilik Timbalan semalam sampai ke pekarangan PPD." 

Aku meneruskan langkah dengan hati yang cukup tenang. Selepas itu aku tidak kisah akan GSTT yang dipohon. Ketika aku hampir melupakan impian itu, akhirnya surat tawaran sebagai GSTT dapat juga digenggam selepas dua bulan daripada kejadian itu.

Aku juga dimaklumkan penggambilan GSTT juga semakin telus. Alhamdulillah.

Alhamdulillah, pada bulan Mei 1991, permohonan ke Maktab Perguruan pula telah aku terima. Rezekiku tahun itu beralamatkan rumah kakak. Aku mendaftar di MPSAH. Di situ aku bagaikan diberi sayap bidadari. 

"Orang gila pun diterima juga jadi cikgu."

Kata-kata gila itu terus meniti dari bibir ke bibir. Namun begitu tidak pernah lari daripada momen silam yang menyakitkan itu. Malah ketika aku beranak satu, aku yang sedang menunggu suami di pasar Kampung Raja disapa mesra oleh seorang makcik.

"Anak ni tunggu siapa? Anak siapa?"

"Saya tunggu suami. Dia ada urusan sekejap. Saya anak Daud tukang Kampung Amir."

"Oh, anak Daud! Makcik dengar cerita ada seorang anak perempuannya yang gila. Yang mana satu?"

Aku menjawab tenang, membuat makcik itu terkedu.

"Sayalah anak Daud tukang yang gila itu!"

Aku menulis bukan untuk merintih akan momen yang telah lama berlalu. Aku menulis untuk mendidik anak-anak belajar bangkit, berjuang cari kecemerlangan dan kesempurnaan daripada kekecewaan atau kezaliman.

Hati itu hidup. Sisi baiknya memaafkan, sisi buruknya berdendam. Dendam itu perlu diberi nilai positif kerana impaknya sangat besar.

Jangan lampiaskan dendam dengan menanti untuk melihat balasan terhadap orang yang menzalimi. Kita tidak akan ke mana-mana. Urusan apa kesudahan terhadap mereka serah sahaja kepada Allah. Kita mesti terus melangkah, jangan sesekali menoleh belakang.

Dalam pencarian jalan pulang ke syurga, kita akan berdepan dengan pelbagai ujian dan cabaran hidup. Ujian itu datang daripada pelbagai cara kerana syurga itu bukan boleh diperoleh percuma.

Ada yang diuji dengan sakit, ada dengan kekayaan, kemiskinan dan anak-anak yang bermasalah. Sabar dan reda menempuhi kerana penghujungnya syurga.

Sekadar melengkapkan rukun yang lima, kita hanya mendirikan tiangnya sahaja. Untuk dinding, lantai dan pelbagai eksesori perlu akan usaha yang gigih. Setiap kali berdepan dengan jalan buntu, kembalilah kepada Allah. Insya-Allah jalan keluarnya ada.

Aku berdendam dengan masa silam hanya untuk terus bangkit dan berlari. Namun tidak sekali pun aku mendoakan yang buruk-buruk terhadap orang yang menzalimiku. Semua urusan aku serahkan kepada Allah kerana Allah juga yang berkuasa dan Maha Mengetahui. 

Hak orang yang dizalimi itu ada. Doanya tiada hijab. Namun bagiku sangat membazir jika digunakan untuk meminta yang buruk-buruk. Adalah lebih bermakna jika doa tanpa hijab itu aku gunakan untuk memohon kecemerlangan kerjaya dan ilmu buat suami dan anak-anak.

Alhamdulillah, kerjaya suamiku terus ke puncak. Semua anak aku memperoleh kecemerlangan dalam setiap peperiksaan sehingga semuanya mendapat Tajaan Mara untuk melanjutkan pelajarannya ke luar negara, termasuk seorang anak autismeku . Dia telah menamatkan kembara ilmunya di bumi sakura dan sekarang telah menjawat jawatan Design Engineer di sebuah syarikat Jepun di Shah Alam.

Jihad ilmu anak-anak dipermudahkan.
Selain akademik, mereka juga berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran.

Aku tidak berkira dengan kemaafan tetapi ada ketika aku ingin kemaafan itu diberi nilai. Sebelum menutup mata aku memaafkan sekeliling kerana aku juga mengharapkan yang serupa. Namun khilaf yang menjurus kepada zalim, sewajarnya perlu ada timbal balas.

Jika sekadar menghulur tangan pada hari raya, meminta 0 - 0 kemudian mengulangi kesalahan yang sama bagiku sangat tidak adil. Nilai maaf yang ikhlas itu perlu disulami dengan usaha membahagiakanku dalam berukhwah. 

Setiap kali berdepan dengan 'EGO' aku akan perangi ego itu kerana aku sayang akan hubungan sesama Islam terutama yang ada ikatan darah. EGO yang diperajai akan ada syaitan yang menumpang. Sehebat mana amal ibadah kita selagi kita memperbesar EGO hati kita sebenarnya belum lunak.

Hidupku berbelit dengan masalah oleh EGO yang diperbesarkan. Sudahnya tangan-tangan yang gagal membenam EGO itu telah menjadi penyebab musibah dalam hidupku.

"Rabbi yasir wala tu 'assir.. sangat memudahkan urusan akak," kata seseorang yang sangat besar egonya.

Bagiku, seseorang yang berhati kering hampir tidak perlu akan doa itu kerana tindakannya lebih kepada perasaan dan memperajai ego. Jika setiap tindakan tidak didahului akan kesan atas tindakan itu, semua akan dipermudahkan. 

Namun bagi seseorang yang banyak pertimbangan tentang kesan baik dan buruk, tentulah pertolongan daripada Allah itu sangat diperlukan.

Aku menghulur jari sepuluh memohon maaf atas setiap khilaf dalam penulisan ini. Pena ini ditarikan atas sebab memikul amanah.

Setiap pertanyaan yang tidak dapatku jawab, aku juga memohon maaf. Satu penulisan kisah benar, aku cuba meminima penceritaan. Tujuan penulisan kisah hidup adalah untuk mendidik dan mencari kesempurnaan.

Cemburu Siti Sarah terhadap Siti Hajar sehingga Siti Hajar dihantar ke padang pasir yang tandus bukan kerana satu kezaliman. Allah ada rencana untuk insan sejagat selepas itu.

Hentikan doa-doa dan kata-kata yang tidak baik kerana saya adalah ujian untuk dia, dia pula ujian untuk saya. Tiada sesiapa yang silap. Solusinya cukup mudah.

Didik hati kita untuk melemahkan EGO, jangan memperajai EGO. Wallahu'alam.

🌹TAMAT🌹

*Boleh follow fb saya untuk mengikuti penulisan saya. Saya tidak boleh lagi menerima yang ingin bertandang salam kerana limit fb sudah penuh. Mohon maaf.

#PKP_Covid19Suatukenangan.
#fotoihsangooglw.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SISTEM PEMBUMIAN ELEKTRIK

KAMPUNG Janda Baik pada asalnya mula diteroka dan dibuka oleh tiga orang individu yang datang dari Bentong, Pahang pada 1932 iaitu Haji Yaseh Da’un, Haji Kadir Hitam dan Haji Idris Awang.

Sebagai anak, sudah tentulah kita perlu menghormati orang tua masing-masing sekalipun mereka hanyalah ibu dan bapa angkat kita