14 Aku akan terus berjuang untuk bangkit. Hak aku meminta, hak Allah memberi. Selagi aku yakin akan Allah itu ada, cukuplah Allah bagiku!

 14

1990
Suatu Kenangan.
.
Cikgu Hanani Daud

.
"Saya hanya ingin bercakap dengan Tuan Haji berkaitan dengan permohonan guru GSTT yang saya mohon," jawabku apabila disapa oleh Tuan Pengarah setelah hampir sepuluh minit aku termanggu sendirian di ruangan menunggu.
"Kalau begitu, ikut saya!" kata Tuan Pengarah.
Alhamdulillah. Melihat senyuman dan suara lembut Tuan Pengarah buat hatiku berasa sangat lega.
Tatkala aku melangkah ke bilik itu, hatiku sudah tidak mengharapkan apa-apa. Aku lebih kepada ingin meluahkan apa yang terbuku dan menyesakkan dada. Dendam telah membunuh sabar dan reda dalam hatiku. Aku perlu berjuang. Walaupun aku akan kekal kecewa, asal tiada lagi yang menjadi mangsa sepertiku, cukuplah.
"Setiap tahun bermula 1986 saya mohon jawatan GSTT. Tidak pernah sekali gagal hadir temuduga. Malangnya sampai sekarang saya masih gagal," kataku memulakan bicara.
Aku hulurkan fail yang berisi surat rayuan serta sijil-sijil yang tidak jadi diserahkan kepada pegawai di tingkat bawah.
"Saya tahu saya layak. Saya ada keputusan SPM dan STPM yang baik. Saya ada sijil-sijil penyertaan dalam pelbagai aktiviti sekolah. Cuma saya dilahirkan sebagai anak orang miskin," kataku
Aku ceritakan apa yang berlaku diperingkat PPD dan apa yang berlaku sebentar tadi. Aku mampu bercakap dengan tenang kerana aku sudah banyak pengalaman berhadapan dengan pelbagai peristiwa yang melukakan hatiku. Hanya sesekali suaraku menahan sebak.
"Saya tahu abah berhutang tambang teksi dengan Pak Kob. Besar harapan abah, saya akan membawa berita baik kepadanya."
"Hampir 100km saya datang ke sini dengan harapan saya diberi peluang. Namun apabila pegawai di tingkat bawah berkata dia ada kuasa untuk buang permohonan saya dalam tong sampah, hancur hati saya. Apa yang akan saya beritahu abah?"
"Abah hantar saya ke sekolah
terbaik
semasa di sekolah rendah. Saya menjadi harapan abah untuk membawa keluarga keluar daripada kemiskinan. Saya perlu jadi kekuatan dan contoh kepada adik-adik."
"Enam tahun saya belajar di sekolah rendah, tujuh tahun di sekolah menengah, malangnya sijil-sijil ini tiada harga. Layaknya hanya untuk dibuang ke dalam tong sampah."
"Bagi saya, sijil-sijil ini adalah impian saya, juga impian abah. Saya tak mahu buang sijil-sijil ini ke dalam tong sampah. Tetapi Boleh tuan beritahu apa yang dapat saya buat dengan sijil-sijil ini?"
Tuan pengarah mendengar aku meluahkan apa yang terbuku. Sekali sekala dia redakan hatiku dengan cuba mengalih topik perbualan. Aku tahu, intonasi suaraku yang sesekali sebak, mendatar dan tenang turut membuai perasaannya.
Diam tak diam hampir sejam aku dibawa bersembang. Aku diajak minum kopi, tapi aku tolak. Aku ditawarkan untuk dihantar ke stesen bas, aku tolak. Pengarah menawarkan wang tambang balik, aku tolak juga. Jawapan aku kepada beliau...
"Yang saya inginkan sebelum keluar dari bilik Tuan Haji hanya satu..."
"Apa dia. Insya-Allah saya akan tunaikan," katanya memberi keyakinan.
"Saya hanya mahu jawapan yang meyakinkan saya. Selagi tuan tidak berikan satu jawapan yang meyakinkan, saya tidak akan keluar dari bilik ini."
Huish! Beraninya aku! Namun inilah sebenarnya fitrah seorang perempuan.
Lembutnya bukan untuk membenarkan dirinya dipijak-pijak, namun lembut perempuan itu kerana pada dirinya sarat dengan kasih sayang. Tatkala kasih itu menghilang, tiada apa yang dapat melunakkan hatinya yang berubah 'kering.'
Perempuan yang terluka, setiap patah perkataan akan disulam rapat-rapat ke sudut hati yang paling dalam. Benaknya juga akan dipasakkan patah kata itu sampai bila-bila selagi jasad dikandung badan.
"Kalau Hani ingin jawapan yang meyakinkan, ini nombor telefon saya. Jika dua minggu lagi tiada surat tawaran, Hani telefon saya. Maklumkan kepada saya."
Subhanallah, Maha Suci Allah.
Aku mengucap syukur. Allah memberikan aku kekuatan untuk berjuang, semoga hak akan kembali kepada yang berhak.
Aku hampir pasti peluang aku untuk bergelar cikgu itu semakin cerah. Tambahan pula ada seorang guru sekolah tempat Kak Long mengajar baru sahaja bersalin. Aku ada peluang cerah untuk menjadi guru ganti di sana kerana aku sudah ada sokongan daripada Pengarah.
"Hani pergi bawa permohonan yang baru. Nanti Guru Besar Kak Long akan menyusul kemudian. Guru Besar akan jumpa pegawai yang berkaitan dan maklumkan untuk ambil Hani bagi mengisi jawatan guru ganti itu nanti."
Aku menarik nafas lega. Aku yakin dengan segala kekuatan yang ada, aku akan bergelar cikgu.
"Saya dah jumpa Pengarah. Tuan Pengarah beritahu pengambilan guru GSTT perlu melalui PPD. Tuan Pengarah mahu saya serahkan surat permohonan ini. "
Aku lihat Pegawai PPD itu menggelabah. Dia tarik surat permohonan dari dalam sampul, kemudian dimasukkan semula. Ditarik lagi, kemudian surat itu di bawa ke bilik sebelah seusai berkata, tunggu sekejap!
"Budak yang jumpa pengarah tu datang. Apa yang perlu kita buat?" soalnya kepada pegawai di bilik sebelah.
Aku dengar setiap butir kata itu kerana dia terlupa untuk menutup pintu. Dinding yang memisahkan antara bilik pula dinding bercermin. Aku nampak apa yang berlaku di bilik sebelah. Aku dapat mengagak apa yang dibualkan. Aku hampir pasti jawapannya sudah aku peroleh.
"Bawa budak tu ke sini. Tahulah saya nak uruskan bagaimana?" kata pegawai yang aku nampak sedang ralit menarikan pena di atas beberapa helaian kertas.
"Bawa budak tu ke sini, Tahulah saya nak uruskan bagaimana."
Ayat ini membuat rasa yang indah dalam hatiku bertukar perit. Aku tahu ayat itu mengandung seribu maksud tersirat. Subhanallah, Maha Suci Allah, lindungilah aku daripada niat jahat orang-orang yang zalim.
Aku melangkah masuk ke bilik itu. Dia tidak mengangkat muka hanya sekadar berkata.
"Tinggalkan sahaja surat itu. Nanti saya akan tengok, mana-mana sekolah yang sesuai untuk awak."
Bicaranya selepas itu lebih kepada berhelah. Aku faham dia tidak akan mengalah, malah egonya semakin mencanak. Hebatnya apabila berada di atas, ego diri boleh diperajai.
Aku keluar daripada bilik itu dengan satu titik prasangka. Sombongnya dia. Egonya dia.
Aku keliru mengapa Allah selalu rezekikan aku untuk bertemu dengan orang yang berwatak demikian. Bukan seorang dua, bahkan ramai.
Mereka bukan zalim. Ramai antara mereka yang menjadi kebanggaan masyarakat. Mereka terlihat sempurna dengan amalan sedekah jariah, solat dan qiamulail. Ramai juga yang setiap kali solat, sentiasa ada di saf depan. Tapi mereka gagal berjuang untuk melenturkan ego diri.
Keluarga yang membuatkan aku tersungkur di pelaminan, datangnya bukan untuk memohon maaf atas belitan musibah kerana tangan-tangan mereka sebaliknya datang untuk memahamkan aku bahawa yang berlaku itu semuanya kerana TAKDIR.
Ayah yang membuatkan hidupku berbelit dengan sihir pembenci, hanya sekadar mengakui kesilapan yang berlaku atas desakkan anak dan isterinya. Silapnya aku yang bertunang dengan lelaki yang anaknya CINTA.
Duda yang dikatakan meletakkan medium sihir bersungguh-sungguh menafikan walaupun ibu saudaranya sampai ke akhir nyawa bergalang ganti bagi pihaknya memohon MAAF.
Semua bukan calang-calang dalam menjaga hubungan dengan Allah. Sentiasa mengikuti kuliah agama. Khatam Quran berkali-kali, namun apabila Allah datangkan aku sebagai ujian, mereka gagal untuk lepas.
"Kita minta maaf Pak Od. Selalu juga dia minta jemaah buat solat hajat untuk hajat anaknya. Kita tak tahu rupanya kita diajak bersubahat untuk menganiayai Hani, anak Pak Od."
Itulah yang disampaikan kepada abah tentang antara usaha ikhtiarnya. Aku yang dikatakan bermain guna-guna.
Walau bagaimanapun aku syukur kerana Allah sayang aku. Allah tarik aku keluar daripada terus terkurung dalam sangkar harimau buatan keluarganya.
Bodohnya aku terpukau dengan kesetiaan dia, walaupun tiada apa yang istimewa tentang dia. Solatnya tidak pernah sempurna. Sentiasa abaikan yang rukun. Aku pasti Allah tarik aku daripada tautan kasih dia agar aku sentiasa berada pada landasan syurga.
Rukun yang lima ibarat tiang sebuah rumah tidak dapat disempurnakan, bagaimana hendak dibangunkan istana untuk aku di syurga? Bukan aku yang tidak layak untuk dia, tetapi dia yang tidak layak buat aku.
Aku yang bukan helaian sutera, dicampak dari rumah agam ke tepi longkang yang hanyir. Tetapi aku pasti suatu hari akan ada yang hargai helaian yang bukan sutera itu untuk dijadikan tirai pelamin.
Aku tidak perlu membazirkan air mata menangisi kezaliman. Aku akan terus berjuang untuk bangkit. Hak aku meminta, hak Allah memberi. Selagi aku yakin akan Allah itu ada, cukuplah Allah bagiku!
Subhanallah, benar jangkaanku...
"Pak Od, permohonan Hani dibuang ke dalam tong sampah lagi..."

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SISTEM PEMBUMIAN ELEKTRIK

KAMPUNG Janda Baik pada asalnya mula diteroka dan dibuka oleh tiga orang individu yang datang dari Bentong, Pahang pada 1932 iaitu Haji Yaseh Da’un, Haji Kadir Hitam dan Haji Idris Awang.

Sebagai anak, sudah tentulah kita perlu menghormati orang tua masing-masing sekalipun mereka hanyalah ibu dan bapa angkat kita