12.1990 Suatu Kenangan Bermadu dalam cinta

12.
1990
Suatu Kenangan.
.Hanani Daud
.
"Bagaimana sekolah?"

Aku tersenyum dengan mimik muka mengisyaratkan tidak faham akan pertanyaan itu.

Dia memandangku dengan wajah yang di dalamnya bersarang dengan persoalan yang celaru. Cermin kereta diturunkan lagi. Aku yang mulanya ingin menyambung langkah masuk ke dalam Shukri Mini Market mematikan langkah.

"Bukankah awak telah berjaya dalam temuduga GSTT tempoh hari? Panel penemuduga ada memilih awak. Saya juga salah seorang panel penemuduga itu?" katanya lagi, keliru.

Aku geleng kepala. Cikgu Umar ( bukan nama sebenar) guru di sekolah menengah, sesekali menggelengkan kepala. Sesekali dia menarik nafas dan mengetap bibir. Sesekali kelihatan dia bagai ingin menuturkan sesuatu, namun tak jadi. Kepalanya berfungsi seolah-olah berfikir...

"Beginilah.... saya tahu awak ada bakat dalam penulisan. Menulislah," ujarnya yang juga AJK Pelita, Besut.

"Menulis?"

"Ya, tulislah. Saya tahu awak boleh berjaya. Saya tunggu novel awak," katanya memberikan aku keyakinan diri. 

Mungkin itulah jalan keluar yang terbaik untuk aku yang sudah bertahun-tahun mengganggur selepas tamat STPM. Satu potensi diri yang dicungkil oleh Cikgu Umar yang tidak pernah terfikir oleh aku sebelum ini.

Tetapi benarkah aku berbakat?

Aku letak tepi tentang penulisan. Persoalan yang pelik, mengapa Cikgu Umar bertanya tentang sekolah dan guru GSTT ? Yakin benar dia yang aku telah berjaya dalam temuduga itu. Walhal acap kali aku hadir temuduga, semuanya hampa.

Kalau benar aku berjaya dalam temuduga tempoh hari, mana surat panggilan? Aku tidak dapat panggilan itu, hanya sekadar memerhati rakan-rakan sekolah dahulu seorang demi seorang bergelar cikgu.

GSTT pada masa itu bernilai tinggi. Guru GSTT hanya perlu menghadiri Kursus Dalam Cuti untuk beberapa kali, kemudian terus diserap sebagai guru tetap. Proses untuk ke Maktab Perguruan pula agak rumit kerana terpaksa bersaing dengan puluhan ribu pemohon.

Kadangkala aku cemburu dengan rezeki rakan kejirananku yang sangat mudah. Sekadar lulus Pangkat 2, nyawa-nyawa ikan sahaja sudah mengelek fail dan 'nametag' cikgu.

"Hani dapat jawatan GSTT tu. Saya pasti sebab saya nampak namanya ada dalam senarai tu. Tapi, selepas itu nama Hani di potong dan diganti dengan orang lain."

Kata-kata itu kembali terngiang-ngiang di telinga. Mungkinkah apa yang diceritakan oleh seorang staff PPD yang namaku dikeluarkan dan digantikan dengan orang lain untuk jawatan itu, benar? 

Mungkinkah benar aku telah melepasi temuduga dan tersenarai untuk ditawarkan jawatan tersebut. Aku akan ambil tahu semua itu.

Jika benar, aku hampir boleh meneka itu olah siapa. Sangat sukar hidup apabila didendami orang. 

Masalahnya hanya kerana aku dicintai oleh seorang lelaki yang ada tautan dengan orang berpengaruh. Walaupun selepas tiga tahun peristiwa itu berlalu tetapi dendamnya tetap membara. Akhirnya semua jalan yang aku ingin lalui digalang duri. 

Aku baru faham, nilai kayangan orang kaya sangat berpengaruh ketika itu. Usahkan ingin bertandang kasih, memijak bayang sahaja aku sudah tidak layak.

Apa yang harus aku buat? Fikiranku melayang jauh. Seperti biasa, tatkala kepala berselirat dengan seribu kemusykilan, aku akan berteleku di atas sejadah. Tiada tadahan tangan, tiada juga tangisan, hanya hatiku sahaja yang berbicara.

Pagi itu aku kumpul segala kekuatan yang ada. Sekadar memohon izin abah dan umi aku menapak ke PPD. Aku mahu mencari jawapan atas kekeliruan yang bersarang dalam fikiran.

"Saya ingin bertanya status, permohonan GSTT saya, tuan," ujarku seusai dipersilakan duduk dan diberi peluang untuk menyatakan tujuan aku ke situ.

"Awak pernah hadir temuduga?"

"Setiap tahun saya hadir temuduga, saya pasti dan yakin saya sangat layak untuk jawatan itu. Semasa di sekolah dulu, tiga tahun berturut-turut saya wakil sekolah dalam pertandingan bahas dan pidato. Walaupun saya tidak pernah menyandang juara, tetapi naib juara peringkat daerah itu ada. Belum lagi aktitivi kokurikulum yang lain," ujarku menyerlahkan sisi hebatku.

"Saya peroleh SPM saya Pangkat 2 dengan lima kredit, STPM pula 4P 1R. Saya datang jumpa tuan kerana saya nak tahu mengapa permohonan saya ditolak?"

Pegawai itu merenungku. Dia bagai memikirkan sesuatu. Barangkali tidak pernah dibuat orang, aku bersemuka dan mencari sebab mengapa permohonan kerja ditolak.

"Mungkin awak ada dalam senarai menunggu sebab apabila semua syarat dipenuhi, nama pemohon akan dimasukkan dalam senarai menunggu," jawab pegawai itu menjelaskan kekeliruanku.

Aku lihat 'dia agak gelisah berhadapan dengan aku ketika itu. Aku tidak pasti mengapa sedangkan aku hanya seorang gadis kampung yang sarat dengan masalah. Adakah rasa itu Allah tiupkan pada dia untuk aku menjadi berani. 

Aku pula lancar sahaja berkata-kata.

"Boleh saya tahu nama saya ada atau tidak dalam senarai menunggu?"

Perghh! Beraninya aku!

"Sekejap!" 

Pegawai itu bangun dan berjalan ke arah fail-fail yang tersusun rapi di atas rak. Sebuah fail ditarik, kemudian fail itu diangkat dan dibawa bersama.

Fail dibelek, "Siapa nama penuh awak?"

"Hanani Daud.." jawabku ringkas.

Satu salinan nama ditarik. Barisan nama berjujuk, bersusun mengikut urutan. Berkali-kali namaku dirujuk, namun jawapannya tetap sama...

"Hanani tiada dalam senarai ini. Betulkah awak ada buat permohonan?"

"Ya, tuan. Sejak tamat STPM 1985 tidak pernah sekali pun saya tidak buat permohonan. Setiap kali dipanggil temuduga, saya hadir. Tidak pernah tak hadir."

Pegawai itu menjadi semakin tidak tentu arah.

"Mungkin tuan boleh semak fail surat panggilan temuduga. Saya rasa suratnya ada saya serahkan kepada penemuduga bersama lampiran sijil-sijil peperiksaan dan sijil-sijil lain yang berkaitan."

Alhamdulillah, urusanku dipermudahkan. Pegawai itu mengambil satu lagi fail. Di dalam fail itu ada surat panggilan temuduga yang pernah diserahkan kepada penemuduga dahulu.

"Jumpa," katanya sambil menarik surat panggilan temuduga tersebut.

"Surat panggilan itu membuktikan saya memang menghadiri temuduga. Kalau semua permohonan layak dimasukkan dalam senarai menunggu selepas dipanggil temuduga seperti yang tuan kata, mengapa saya tidak?" soalku.

Pegawai itu bungkam. Dia menggigit pena yang tadinya ditari-tarikan di tangan. Dia mengetap bibirnya dengan wajah yang keliru.

"Tuan, boleh atau tidak saya dapatkan semula surat panggilan temuduga tu?" tanyaku.

"Boleh," katanya lantas menarik kepingan kertas panggilan temuduga itu.

Aku tidak pasti untuk apa aku meminta semula surat panggilan temuduga itu, tetapi aku pasti suatu hari mungkin ada gunanya. Seusai mendapatkan surat itu, aku keluar daripada pekarangan PPD dengan hati yang sebal.

Aku tiada dalam senarai menunggu. Betapa selama ini aku diperbodohkan.

Kupandang wajah tua abah yang tidak pernah kering keringatnya. Papan dan kayu dipikul, senget-senget badan tua abah mengimbangi berat beban. Setiap keping papan diketam dengan kudrat tua abah. Aku boleh bayangkan lelah abah untuk menyiapkan sebuah rumah kayu.

Aku seorang anak yang dididik dengan harapan dan tangisan seorang abah. Aku memperoleh kejayaan yang abah impikan, namun rezeki aku dihalang.

Kutatap wajah umi yang menampakkan garis tua walau bukan pada masanya. Umi yang tidurnya hanya sejam dua untuk membantu abah membesarkan sembilan orang anak. 

Kadangkala jam satu pagi umi baru balik daripada kerja mengilas daun tembakau. Seusai empat atau lima pagi umi sudah bangun untuk mendapatkan galah-galah daun tembakau kering untuk dirombak dan dikelaskan grednya.

Mizu adik lelakiku pula selalu lelah emosinya berperang dengan provokasi budak-budak nakal. Semuanya kerana aku.

"Mengapa baju kamu comot? Bibir kamu berdarah? Bergaduh? Acap kali akak pesan, pergi mengaji jangan bergaduh dengan orang. Tak padan nak lawan dik.."

Suatu hari aku yang asyik berkhayal dikejutkan dengan bunyi pintu rumah ditendang Mizu. Aku menarik tangan Mizu ke ruang dapur. Bibirku tidak henti-henti membebel. Bibir Mizu yang mula membengkak aku tuam dengan tuala yang direndam ais. Menyenget muka Mizu menahan pedih.

"Mengapa tak nak dengar nasihat akak?"

"Dia ejek akak gila. Acap kali dia ejek akak gila. Sebab itu Mizu lawan. Akak tidaķ gila," jawab Mizu dengan muka masam dan dada yang masih berombak menahan rasa geram.

Aku tidak lihat kesakitan Mizu kerana bibirnya pecah dan berdarah, tetapi aku lihat kesakitan hati Mizu yang parah terluka kerana aku diejek gila. Serta-merta bebelanku terhenti. Aku menarik nafas panjang. 

Tiga tahun peristiwa itu berlalu, cerita aku yang gila tidak pernah berhenti berlegar sehingga budak-budak mengaji boleh jadikan isu aku gila untuk mencari gaduh dengan adik-adikku.

"Biarlah dik kalau akak dikatakan gila. Allah ada bersama-sama kita,"kataku. 

Mizu terus mengomel melepaskan kemarahan. Aku pula membenamkan sebak. Janjiku air mata tidak akan aku titiskan. Air mataku teramat mahal harganya dititiskan buat insan yang zalim dan berhati kotor. Aku percaya air mata sabar dan reda itu aku bersatu di syurga.

Dendamku kembali membara..

Aku mengambil buku tulis kosong. Catatan pertama yang aku tulis, 'Bermadu Dalam Cinta.' 

Aku akan tulis dan jawab tuduhan gila itu. Asasnya adalah kisah hidupku yang diselangkan sedikit hayalan. 

Alhamdulillah novel yang aku tulis hanya dalam masa lapan hari itu diterbitkan pada tahun 1994 dan masih diulang cetak dan dijual sehingga tahun 2004. Tiga kali kulit depannya ditukar. Alhamdulillah.

#PKP_Covid19SuatuKenangan
#fotoihsangoogle

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SISTEM PEMBUMIAN ELEKTRIK

KAMPUNG Janda Baik pada asalnya mula diteroka dan dibuka oleh tiga orang individu yang datang dari Bentong, Pahang pada 1932 iaitu Haji Yaseh Da’un, Haji Kadir Hitam dan Haji Idris Awang.

Definasi Alatubah