11 "Hina sangat aku dibuat orang."

 11

1990
Suatu Kenangan.
.
.





"Hina sangat aku dibuat orang."
Abah tongkat motor honda buruknya. Dua guni besar jagung di atas motor, abah angkat dan hempas ke tanah. Aku dan Mizu saling berpandangan. Aku lihat wajah kecewa di wajah Mizu.
Abah yang penuh semangat memetik jagung dan membawanya ke pasar tetapi tidak jadi dijual.
"Mentang-mentang aku orang miskin, orang pasar nak beli jagung seguni besar tu hanya empat ringgit."
Aku dengar abah membebel lagi dengan nada meninggi dan sebak.
"Penat aku tak hilang. Hanya lepas minyak motor aku ke sana sahaja."
Abah menghempaskan punggungnya di jemuran. Pilu hati aku melihat kekecewaan seorang abah. Apatah lagi janjinya kepada Mizu tidak dapat ditunaikan. Sebak suara abah menahan tangisan meruntum hatiku.
Betapa besarnya pengorbanan umi abah atas musibah yang berlaku ke atasku. Betapa abah perlu tulikan telinga dan tebalkan muka dengan setiap momokkan jahat sekeliling. Mujur ada juga beberapa orang jiran yang rapat terus-menerus memberi sokongan.
Ketika itu, kemiskinan pada zaman kanak-kanak seolah-olah kembali berulang. Ke mana-mana abah pergi mencari kerja, tetapi tiada siapa yang sudi terima abah. Syukur, kakak sulung membantu membeli barang-barang dapur. Namun gaji seorang guru lepasan SPM hanya lebih kurang RM500 sahaja. Suaminya juga serupa, sedangkan anak-anak berderet, setahun seorang.
Aku?
Keputusan SPM Pangkat 2, STPM 4P. Boleh tahan cemerlang. Namun rezeki ke universiti, tiada. Seusai keputusan STPM diumumkan aku berbelit dengan masalah kesihatan. Aku bergelut dengan penyakit misteri yang tidak dapat dikesan dengan pengubatan moden, akhirnya aku dibawa ke wad gila. Aku tak sempat memohon untuk mencari peluang ke universiti.
Abah menarik nafasnya berkali-kali. Kasihan benar abah. Aku perlu menenangkan abah. Pasti setiap ujian itu akan ada jalan keluar.
Tiba-tiba mata aku tertangkap tin biskut yang tergolek di tepi tiang rumah. Tin biskut 'mayat' itu entah bagaimana boleh ada di situ.
Aku teringat, sewaktu mengikut Kak Long ke Dungun, ada gerai jualan jagung rebus di tepi jalan. Kebanyakan penjual digerai itu menggunakan tin biskut untuk merebus jagung.
"Tak apa abah. Allah nak bagi rezeki lebih untuk kita. Kalau kita rebus jagung tu, kita jual 5 tongkol seringgit mesti lebih banyak duit yang akan kita dapat?"ujarku menenangkan abah.
"Adakah orang yang nak beli?"
"Insya-Allah ada. Pagi-pagi ramai yang datang tunggu ikan depan rumah kita. Mesti beberapa orang akan beli. Kita juga boleh jual di ban tembakau," ujar saya.
"Siapa nak jual?"
"Saya...saya boleh jual," kataku penuh yakin.
Aku tidak mahu lihat wajah abah yang kecewa. Jika dulu abah selalu berikan aku kekuatan, sekarang giliran aku pula yang memberikan kekuatan untuk abah.
Abah terus bangkit. Semangatnya serta-merta pulih. Abah tanggalkan baju Melayu yang disarung. Abah kembali berlenggeng seperti biasa. Abah tidak banyak baju. Hanya sehelai dua sahaja. Sebab itulah abah lebih suka berlenggeng tanpa baju.
Abah buat tungku dapur daripada batu-bata. Abah ambil kayu pasung lama yang diketepikan pekerja 'ban tembakau' dan dibiarkan mereput.
Aku siat selapis dua kulit jagung. Aku susun lapis demi lapis tongkolan jagung di dalam tin biskut. Abah menghidupkan api. Bermulalah episod aku menjual jagung di tepi jalan pada musim jagung tahun itu. Alhamdulillah, jagung laris dijual.
Menempuh laluan hidup selepas keluar dari 'wad gila' bukanlah mudah. Banyak penghinaan yang terpaksa aku tempuh. Sepanjang jalan setiap kali aku menapak ke mana-mana, aku lihat mimik wajah yang mencemek kemudian ada yang berbisik sesama. Aksi sebahagian daripada tetangga kampungku itu seolah-olah drama tontonanku ditelevisyen.
Namun begitu, ramai juga makcik yang mendakap kuat hatiku. Ada yang tidak pernah putus melimpahkan kasih sayang dan melayanku seperti anak sendiri. Salah seorang antara mereka ialah Mak Ngah. Sehingga aku beranak lima, setiap kali jumpa bibirnya basah dengan ucapan maaf bagi pihak anak saudaranya.
"Mak Ngah minta maaf atas segala kesalahan anak saudara Mak Ngah. Mak Ngah tahu hidup Hani sangat sukar selepas kejadian itu. Mak Ngah tidak dapat menghalang perbuatannya pada Hani. Mak Ngah rasa bersalah."
Mak Ngah satu satunya yang faham dan memberi nilai kepada ungkapan maaf, sehingga hatiku lentur.
Anak saudara Mak Ngah itu yang selalu mengganggu lena saya. Seorang yang dikatakan mendapat upah untuk menanam 'medium sihir di tempat-tempat yang biasa saya pergi.
Saya pernah mendengar pertelingkahannya dengan abah pada suatu petang...
"Pakcik Od tuduh saya? Mana buktinya? " kata lelaki itu.
"Mana aku tuduh kamu. Orang kampung yang bercerita kamu punca Hani jadi begitu. Kalau betul bukan kamu, sudah. Aku minta maaf."
"Saya akui Hani cantik. Saya suka dia. Tapi kalau cantik saja buat apa? Pakcik Od bukannya ada apa-apa. Miskin," katanya lagi sambil berlalu pergi dari kawasan rumahku.
Anak muda yang selalu keluar masuk 'locap' oleh pelbagai kesalahan itu masih boleh menghina kemiskinan abah. Hina benar makna kemiskinan ketika itu.
Namun seusai aku dalam proses pemulihan, suatu pagi sesudah sahur tatkala adikku membuka jendela aku dengar adik sergah seseorang.
"Kau buat apa di sini?"
Kata adik, dia nampak lelaki anak saudara Mak Ngah itu tertidur di tangga rumahku. Apabila disergah, dia terkejut dan lari tergesa-gesa, jatuh dan bangun meninggalkan pekarangan rumah.
Mak Ngah meminta maaf bagi pihaknya untuk membebaskan anak saudaranya daripada dosa dan hukuman Allah. Mak Ngah memberi nilai pada ungkapan maaf itu. Kemudian Mak Ngah sentiasa ada usaha membahagiakan aku. Setiap kali mendengar hinaan dan cercaan dilemparkan ke atasku, Mak Ngah akan membelaku.
Berbeza dengan seseorang yang pernah membisikkan di telingaku pada malam pengantinku di sebelah suami,
"Saya tahu awak pernah putus tunang. Saya pasti awak tidak terlalu suci untuk suami awak. Bolehkah awak berikan diri awak sekali untuk saya?"
Subhanallah...
Hina benar aku, perempuam putus tunang ketika itu. Harga diriku dileraikan satu persatu. Alhamdulillah, aku Allah lindung daripada niat jahatnya. Aku pula sehabis daya melindungi aibnya sehingga kepada suami sendiri aku tidak pernah bercerita.
Namun acap kali rumahtanggaku bergoncang oleh olah orang yang mempertahankan 'dia. Mengangkat sisi baiknya dan membongkar sisi burukku.
Malah sehingga nafasnya terakhir tiada ungkapan maaf yang diucapkan. Isterinya yang memang tahu akan kisah itu terus-terusan memperjuang egonya untuk datang memohon maaf bagi pihak 'dia. Agaknya orang seperti aku tidak layak untuk memiliki maaf yang diberi nilai. Aku perlu memberinya secara percuma.
Subhanallah, hidupku berbelit-belit. Namun itu tidak pernah menjauhi aku daripada bertaut rapat dengan cinta Allah. Aku terus mengharap reda-Nya.
Aku tidak pernah lelah, bagiku hak aku meminta, hak Allah memberi. Aku pasti setiap tadahan tanganku berdoa, Allah tidak akan kembalikan, kosong. Hanya sama ada segera atau lambatnya sahaja.
"Saya tahu selepas keluar dari wad ini, tidak sukar untuk awak mendapat pengganti bekas tunangan awak. Saya pasti itu, kerana awak memiliki apa yang lelaki inginkan."
Itulah kata-kata doktor dulu. Walaupun aku miskin, tetapi semasa muda aku ada rupa yang sedap dipandang. Abah keturunan Arab, umi pula keturunan Cina, Yunan. Aku memiliki mata yang cantik dengan alis yang lentik. Aku juga memiliki kulit yang putih mulus.
Semasa sekolah dulu, acap kali aku dipanggil oleh cikgu. Bulu mataku ditarik-tarik,
"Betul ini bulu mata kamu. Tapi mengapa ada yang mengadu kamu pakai maskara?"
Berbelit-belit hidup remajaku, akhirnya bulu mata yang lentik itu aku gunting ke paras yang sama seperti orang lain. Aku tidak kisah akan kehilangan bulu mata yang dikatakan cantik itu asal aku dapat hidup selesa.
Namun aku kisah akan satu perkara!
Suatu hari aku terdengar perbualan abah dengan seseorang yang bekerja di PPD...
"Hani dapat jawatan GSTT tu. Saya pasti sebab saya nampak namanya ada dalam senarai tu. Tapi, selepas itu nama Hani di potong dan diganti dengan orang lain."
Subhanallah.
Maha Suci Allah yang Maha Memberi.
Mengapa aku dizalimi?
Aku yang berdendam dengan sekeliling ketika itu, nekad ingin mencari tahu puncanya.
Hak aku. Rezeki aku. Aku nekad untuk perjuangkan!
1.1K
172 comments
35 shares
Like
Comment
Share

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SISTEM PEMBUMIAN ELEKTRIK

KAMPUNG Janda Baik pada asalnya mula diteroka dan dibuka oleh tiga orang individu yang datang dari Bentong, Pahang pada 1932 iaitu Haji Yaseh Da’un, Haji Kadir Hitam dan Haji Idris Awang.

Definasi Alatubah