1 Tiba-tiba isteri orang kaya di kampungku melambai tatkala aku melintas di hadapan rumahnya.

 1

1975
Suatu Kenangan.
.

"Datang sini kejap!" tiba-tiba isteri orang kaya di kampungku melambai tatkala aku melintas di hadapan rumahnya.
Langkahku terhenti. Aku ragu-ragu untuk masuk ke dalam pagar rumah kayu yang tersergam indah itu. Besar rumahnya, malah di kampungku ketika itu hanya dua orang sahaja penghuni yang memiliki kereta dan televisyen. Dialah salah seorang selain bapa saudaraku sendiri.
"Hani dari mana?"
"Dari sana.." kataku sambil menunding jari ke arah rimbunan pokok kemunting yang berbuah lebat.
"Buat apa di sana?"
Aku hanya diam. Aku sendiri tidak tahu mengapa aku suka tempat itu. Rutin harian apabila pulang dari sekolah aku akan ke rimbunan pokok-pokok renek itu, mengutip buah kemunting yang sedang ranum. Rasanya memang sedap. Manis dan berperisa beri.
"Datang sini kejap!" katanya lagi.
Aku teragak-agak. Aku rasa cuak tatkala melihat ada gunting dan sikat di tangannya. Nak buat apa dengan gunting dan sikat itu?
"Saya suruh datang sini! Kenapa tercegat lagi di situ!"
Intonasinya mula berubah. Akhirnya aku terpaksa menapak ke sisi 'dia. Mataku tetap terpaku kepada gunting dan sikat di tangannya itu.
"Potong pendek rambut kamu, boleh?" Tanya dia sambil menarik badanku, rapat.
Aku diam lagi. Dadaku berdebar-debar...
Potong pendek? Huish!
Tiba-tiba kenangan rambutku dipuji cantik tertayang di mata.
"Cantik sungguh anak kamu ni Munah. Kulit putih kemerahan, rambut pula hitam berkilat. Lembut saja rambutnya," tegur seorang makcik minggu lepas membuatkan hati aku kembang kuncup.
"Pandai betul kamu simpan rambut panjang sampai ke pinggang. Kalau nak rambut kamu lebih cantik sekali sekala cuci rambut guna batang 'beluru dicampur limau nipis. Setiap malam sikat rambut paling kurang 100 kali untuk kuatkan akar rambut," pesan makcik itu.
Aku teruja tatkala mendengar petua makcik itu. Selepas itu setiap malam aku akan sikat rambutku berulang-ulang kali sehingga lenguh tangan kecilku.
Hari ini, isteri orang kaya di kampungku sudah siap dengan gunting dan sikat. Dia ingin memotong pendek rambut kesayanganku. Alahai, apa yang perlu aku buat?
"Nanti saya balik tanya umi," ujar saya memberi alasan.
"Tak perlu tanya. Mari sini makcik potong, " katanya lagi sambil memautku dan menarik ke sisi. Aku didudukkan di atas bangku kecil yang memang sudah disediakan di situ.
"Duduk diam-diam. Jangan banyak bergerak. Nanti senget rambut kamu, tak cantik."
Aku keliru. Semuanya berlaku sangat pantas. Sebagai anak kampung yang daif dan miskin apa yang mampu aku buat? Sekadar menurut sahaja bagaimana aku diperlakukan.
"Ini rambut kamu. Kutip dan masukkan dalam surat khabar tu, kemudian balik rumah, tanam. Kamu lebih cantik kalau berambut pendek. Nanti balik tengok cermin, memang kamu lebih cantik berambut pendek," katanya lagi.
Aku 'blurr'. Bagaimana aku ingin berhadapan dengan umi. Sepanjang perjalanan pulang hatiku berbaur dengan pelbagai rasa. Kaki yang tidak berselipar, berlari-lari anak pulang ke rumahku yang seumpama syurga, walhal hanya sebuah pondok buruk beratap rembia, berdinding buluh dan berlantai batang nibung.
Kaki dan tanganku sudah biasa tertusuk sembilu duri nibung yang bersisa selepas disisip abah tidak sesakit saat hatiku yang tertusuk.
Hina seorang anak miskin akan sanggup diperlakukan apa saja telah membakar dendam di hati. Aku ingin belajar dan jadi orang yang berjaya. Kata abah...
"Suatu hari orang tidak akan kisah siapa kita, atau bagaimana akhlak kita. Orang hanya kisah siapa kita dan kereta apa yang kita pakai."
Itulah yang memotivasikan aku untuk terus mencanai model insan agar anak-anak miskin sepertiku dapat keluar dari kepompong kemiskinan. Yang pasti aku tambah nilai dengan didikan akhlak yang baik dan sempurna. Insya-Allah.
Wallahu'alam.
.
.
.... sekadar bertanya. Siapa mahu cerita ini bersambung?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SISTEM PEMBUMIAN ELEKTRIK

KAMPUNG Janda Baik pada asalnya mula diteroka dan dibuka oleh tiga orang individu yang datang dari Bentong, Pahang pada 1932 iaitu Haji Yaseh Da’un, Haji Kadir Hitam dan Haji Idris Awang.

Definasi Alatubah